KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan berusaha untuk memastikan barisan pemain yang sedang mewakili kelab luar mendapat suntikan vaksin COVID-19 sebelum ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun ini.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata proses perbincangan sedang berlangsung dan akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan kerana memerlukan koordinasi antara kerajaan dengan kerajaan (G2G) lain dalam membantu pemain terlibat mendapat perlindungan vaksin di negara yang mereka beraksi ketika ini.

"Perbincangan sedang dilakukan tetapi bukan melibatkan persatuan atau pasukan bola sepak... Ia memerlukan koordinasi di pihak atasan iaitu G2G kerana pengurusan vaksin tidak dilakukan pasukan.

"Pelaksanaan suntikan vaksin di negara lain juga berbeza. Saya jangka status perbincangan mengenai perkara ini akan dapat diketahui dalam masa satu hingga dua minggu lagi," katanya ketika ditemui pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Putrajaya pada Isnin.

Penyerang muda sensasi negara yang mewakili kelab Belgium, KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin, pemain kelab Chonburi FC (Thailand) Junior Edstal dan pemain naturalisasi negara yang kini beraksi di Australia bersama Newcastle Jets, Liridon Krasniqi merupakan antara pemain kebangsaan yang bermain di luar negara ketika ini.

Mereka merupakan antara pemain yang disebut-sebut bakal dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang menyaksikan Malaysia bertemu UAE pada 3 Jun diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

Beliau pada masa sama berkata FAM juga menerima rayuan daripada negara lain untuk proses suntikan vaksin kepada pemain mereka yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) namun menjelaskan keutamaan hanya diberikan kepada pemain kebangsaan buat masa ini.

Semalam, lebih 40 daripada 78 pemain dan pegawai FAM telah menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama manakala baki yang terlibat dijangka disuntik pada Khamis ini di lokasi sama.

Sementara itu, Stuart memaklumkan FAM telah menghantar caj notis kesalahan kepada pasukan Kedah Darul Aman FC ekoran insiden layangan kad merah ke atas Fadzrul Danel Mohd Nizam yang dilihat menyentuh pengadil dalam perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, minggu lepas.

Dalam pada itu, beliau enggan mengulas lanjut mengenai satu lagi insiden serupa melibatkan pemain import Johor Darul Ta'zim (JDT), Gonzalo Cabrera pada aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan yang hanya menerima kad kuning Jumaat lepas.

Katanya, beliau memerlukan perbincangan dalaman antara Unit Pengadil FAM dengan Jawatankuasa Tatatertib sebelum memutuskan tindakan lanjut kepada pemain berkenaan.

-- BERNAMA