Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) bagi mewujudkan rangka kerja bagi mengukuhkan kerjasama teknikal, pembangunan belia dan kejurulatihan.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kerjasama itu akan membuka ruang pembangunan demi kepentingan bersama termasuk bola sepak wanita, futsal serta pertadbiran, pengkomersialan dan penajaan pendapatan.

Mou itu ditandatangani oleh Hamidin dan rakan sejawatannya dari JFA, Kohzo Tashima serta disaksi oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, Setiausaha Agung, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John.

Terdahulu, delegasi pemimpin bola sepak yang diketuai Infantino mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengenai MoU itu, Hamidin berkata beliau gembira dapat menjalin kerjasama buat pertama kali dengan JFA.

"Saya percaya ia bukan hanya memperkukuhkan ikatan yang sedia wujud antara kedua-dua negara malah menjadi titik permulaan penting dalam usaha berterusan ke arah meningkatkan standard bola sepak negara masing-masing," katanya pada sidang media.

"Bagi pihak FAM, saya ingin mengucapkan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir kerana memberikan kami peluang berkongsi pandangan dengan beliau. Kami yakin sebagai pemimpin yang mengasaskan Dasar Pandang Ke Timur, Tun Dr Mahathir menyokong projek ini.

"Dengan kejayaan layak ke Piala Dunia FIFA secara berturut-turut sejak 1998 dan muncul juara Piala Dunia Wanita FIFA, Jepun menawarkan peluang yang tidak terbatas untuk belajar," katanya.

Sementara itu, Tashima menyifatkan kerjasama itu sudah pasti menghasilkan impak positif terhadap pembangunan bola sepak serta membentuk memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua persatuan itu.

"JFA berpegang teguh kepada usaha mengukuhkan kerjasama kami dengan rakan anggota Asian. MoU ini membuka kepada pelbagai peluang baharu yang menyediakan platform bagi mengeratkan persahabatan yang baik antara FAM dan JFA.

"Menandatangani MoU di sini selepas kunjungan hormat kepada Tun Dr Mahathir memang merupakan pengesahan besar kepada projek ini, sebagai tanda kerajaan Malaysia ingin menjadikan bola sepak sebagai agenda negara," katanya.

Dalam pada itu, Infantino berkata, beliau gembira untuk menyaksikan majlis memeterai kerjasama yang bersejarah antara kedua-dua negara itu dan percaya kerajaan Malaysia akan menyumbang dalam usaha FAM memartabatkan bola sepak negara.

"FIFA juga berpendapat bantuan kerajaan amat penting dan kami amat berbesar hati untuk diberi peluang untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Tun Dr Mahathir. kami percaya kerajaan Malaysia boleh menyumbang melalui perkongsian ikhlas dengan FAM dari segi infrastruktur, kewangan dan penajaan," katanya.

-- BERNAMA