SUKAN
FAM perlu sokongan pakar luar dalam rayuan kes FIFA - Christopher Raj

Christopher Raj mencadangkan FAM tidak hanya bergantung kepada Ahli Jawatankuasa Tatatertib, sebaliknya mendapatkan pandangan serta bantuan pakar luar bagi memperkukuh rayuan dan menghadapi kemungkinan tindakan undang-undang oleh FIFA. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) disaran segera membina pasukan undang-undang mantap bagi menghadapi prosiding rayuan terhadap denda yang dikenakan ke atas badan induk bola sepak negara itu serta tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Datuk Christopher Raj menyarankan FAM membentuk pasukan undang-undang mantap dan mendapatkan bantuan pakar luar bagi menghadapi prosiding rayuan terhadap denda dan penggantungan tujuh pemain warisan oleh FIFA.
- Beliau menegaskan FAM tidak boleh memandang ringan kepakaran Ahli Jawatankuasa Tatatertib dan Tribunal FIFA yang terdiri daripada bekas peguam berpengalaman luas dalam perundangan sukan.
- FAM dikenakan denda CHF350,000 dan tujuh pemain digantung 12 bulan serta didenda CHF2,000 setiap seorang atas kesalahan pemalsuan dokumen, dengan rayuan akan dikemukakan selepas keputusan penghakiman penuh diterima.
Beliau berkata Ahli Jawatankuasa Tatatertib dan Tribunal FIFA bukan sekadar bekas pemain, sebaliknya kebanyakannya terdiri daripada bekas peguam dari negara-negara Eropah yang lama berkecimpung dalam perundangan sukan.
"Majoriti mereka (Ahli Jawatankuasa Tatatertib dan Tribunal FIFA) adalah bekas peguam dengan pengalaman bertahun-tahun. Jadi, FAM tidak boleh memandang ringan kepakaran yang dimiliki pihak lawan dalam prosiding ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumaat lepas, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA menerusi kenyataan memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.
Semalam, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman mengakui terdapat kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan kakitangan pentadbiran badan induk itu.
Noor Azman berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menegaskan para pemain terbabit adalah rakyat Malaysia yang sah.
Beliau menambah FAM kini menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami