FAM tidak nafi kewujudan dokumen, rayuan ke FIFA untuk jelaskan tiada unsur pemalsuan - Peguam

Vittoz menjelaskan, rayuan kepada badan bolasepak FIFA bukan bertujuan menyangkal wujudnya dokumen yang diperkatakan, sebaliknya mahu membuktikan bahawa tiada unsur pemalsuan seperti yang dikaitkan sebelum ini.
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan rayuan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bukan untuk menafikan kewujudan dokumen, sebaliknya bagi menegaskan tiada unsur pemalsuan dilakukan mana-mana pihak.
Ringkasan AI
- FAM tidak nafikan kewujudan dokumen yang dipertikai FIFA. Rayuan dibuat untuk jelaskan tiada pemalsuan dilakukan. Siasatan sedang dijalankan bagi kenal pasti individu terlibat.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, sekiranya wujud sebarang kesalahan dalam isu ini, ia seharusnya disasarkan kepada individu yang bertanggungjawab secara peribadi.
“Jika benar terdapat kesilapan, ia perlu diletakkan kepada pihak yang menyediakan dokumen tersebut, bukan kepada pemain atau FAM secara keseluruhan,” tegas Serge.
Beliau turut memaklumkan, siasatan kini sedang dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana dokumen yang dipertikaikan itu disediakan.
Menurutnya lagi, FAM tidak menafikan kewujudan dokumen berkenaan, namun menegaskan, ia telah disediakan mengikut ketetapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Terdapat perbezaan antara sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa luar negara dengan versi yang dikeluarkan oleh JPN, dan hal ini menjadi antara punca kekeliruan,” katanya.
Terdahulu, FIFA dalam laporan penuh penghakimannya mendedahkan asal usul sebenar tujuh pemain warisan negara yang digantung selama 12 bulan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, berkaitan pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.
Berikutan itu, pemain-pemain terbabit digantung selama setahun serta dikenakan denda sebanyak RM10,500 setiap seorang, manakala FAM turut dikenakan denda berjumlah RM1.8 juta.
Rayuan FAM kini sedang diteliti FIFA dan keputusan lanjut dijangka diumumkan selepas proses siasatan selesai.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami