Dua pasukan Liga Super 2017, Felda United dan Terengganu II, yang sebelum ini dikenali sebagai T-Team, hari ini secara rasmi diturunkan beraksi dalam saingan Liga Perdana pada musim depan.

Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam susulan kegagalan Felda United mengemukakan penyata audit yang menjadi syarat wajib bagi mendapatkan kelulusan daripada First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sementara Terengganu II diturunkan selepas permohonan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk menstrukturkan kembali bola sepak Terengganu dengan menjadikan Terengganu II sebagai kelab pelapis diluluskan FMLLP.

"Perkara ini dipertimbangkan dengan amat serius dan Anggota Lembaga Pengarah FMLLP mencapai keputusan untuk tidak membenarkan pasukan Felda United beraksi dalam Liga Super 2018 kerana ketiadaan lesen untuk bertanding.

"Terengganu II pula terpaksa diturunkan kerana permohonan PBSNT untuk menstrukturkan kembali bola sepak Terengganu dengan menjadikan pasukan Terengganu II sebagai pasukan pelapis," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai status penyertaan Felda United dan T-Team dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018 di pejabat FMLLP di sini, hari ini.

Berikutan ketiadaan Felda United dan Terengganu II dalam saingan Liga Super musim depan, Kevin berkata dua slot itu akan diisi dua pasukan daripada Liga Perdana iaitu PKNP FC dan Negeri Sembilan.

"PKNP FC dan pasukan Negeri Sembilan akan mengisi dua slot tersebut kerana kedua-dua pasukan itu mencapai kriteria untuk beraksi pada saingan Liga Super dan keputusan ini dimuktamadkan oleh Anggota Lembaga Pengarah FMLLP," katanya.

Dalam pada itu, Kevin menegaskan keputusan menurunkan Felda United ke Liga Perdana bukannya satu bentuk penganiayaan tetapi satu langkah diambil demi memartabatkan kembali bola sepak negara selain menjadi pengajaran kepada semua pasukan.

"Cuba untuk mengemukakan, dan mengemukakan adalah dua perkara jauh berbeza. Saya rasa semua pasukan telah mencuba sedaya upaya dan kalau kita hanya memberi lesen atas percubaan sahaja, tidak ke mana bola sepak kita.

"Saya rasa sudah tiba masanya kita mengambil serius perkara ini. Jika potongan mata dan menyekat perpindahan pada musim lepas masih tidak memadai bagi memastikan mereka benar-benar serius dalam saingan Liga Malaysia, maka langkah ini (menurunkan beraksi di Liga Perdana) adalah perlu," katanya. -- Bernama