SUKAN
Fergus Tierney sah sertai Sabah FC

Fergus Tierney ketika beraksi dalam perlawanan kumpulan A Piala ASEAN 2024 antara Malaysia dan Timor-Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 Dis 2024. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA KINABALU: Sabah FC mengesahkan kehadiran penyerang muda Harimau Malaya, Fergus Tierney, bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.
Pemain berusia 22 tahun itu menyertai pasukan berpangkalan di Borneo selepas menamatkan tempoh pinjaman bersama kelab Liga 2 Thailand, Nakhon Pathom United.
Musim lalu, Tierney berkelana secara pinjaman ke Thailand bersama kelab Chonburi dan Nakhon Pathom sebelum kembali ke pangkuan pasukan asalnya Johor Darul Ta'zim (JDT).
Tierney yang memiliki enam penampilan bersama skuad Harimau Malaya dengan satu jaringan dijangka memperkukuh barisan serangan Sang Badak musim hadapan."Kami amat gembira menyambut kehadiran Fergus ke dalam keluarga Sabah FC. Pengalaman beliau dalam bola sepak Thailand dan JDT, selain keterlibatan bersama skuad kebangsaan, menjadikan beliau aset bernilai buat pasukan," menurut kenyataan kelab menerusi laman rasmi Facebook semalam.
Dilahirkan di Glasgow, Scotland, Tierney memegang pasport Malaysia selepas dibesarkan di negara ini, selain pernah beraksi sebanyak 12 kali bersama skuad Bawah 23 Tahun negara dengan tiga jaringan.
Sementara itu, Sabah FC turut mengumumkan senarai pemain bagi musim 2025/2026, yang menyaksikan beberapa tonggak Harimau Malaya dikekalkan termasuk penyerang Darren Lok, pemain tengah Stuart Wilkin serta dua pertahanan, Dominic Tan dan Daniel Ting.
Penjaga gol berpengalaman Khairul Fahmi Che Mat turut tersenarai.
Bagi kuota import, Sabah membawa masuk pemain pertahanan antarabangsa New Zealand, Dane Ingham; pemain tengah kelahiran Australia, Dean Pelekanos dan penyerang dafri Bosnia, Ajdin Mujagic.
Pemain tengah dari Sepanyol, Miguel Cifuentes, pula dikekalkan.
Namun begitu, kapten musim lalu yang juga pemain pertahanan dari Korea Selatan, Park Tae-soo - mesra digelar "Karim" dalam kalangan penyokong - tidak lagi bersama pasukan untuk musim baharu ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami