Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini mendenda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejumlah RM180,000 ekoran kekecohan yang berlaku sewaktu Kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Shah Alam, 8 September lalu.

FIFA turut memberi Arab Saudi kemenangan 3-0 ke atas Malaysia dan mengarahkan skuad kebangsaan Malaysia untuk bermain satu perlawanan tanpa penyokong.

Jawatankuasa Disiplin FIFA dalam kenyataannya berkata, arahan bermain di stadium tertutup itu akan membabitkan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 antara Malaysia menentang Emiriah Arab Bersatu, (UAE) pada 17 November ini.

"Hasil siasatan mereka (FIFA) menunjukkan FAM bertanggungjawab terhadap kelakuan penonton.

"Prosiding disiplin ke atas FAM dibuka bagi beberapa insiden, termasuk penggunaan bom asap dan suar di dalam stadium yang memaksa kepada perlawanan dihentikan pada minit ke-88," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di laman web persekutuan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, FAM didapati bersalah kerana melanggar Perkara 6, perenggan 5, Peraturan bagi Piala Dunia Rusia 2018, Perkara 56, Perkara 65, 67 perenggan 1 dan Perkara 67 perenggan 3 Kod Disiplin FIFA.

"FAM sudah dimaklumkan mengenai keputusan Jawatankuasa Disiplin FIFA hari ini," ujar kenyataan itu lagi.

Dalam insiden pada minit ke-88 permainan itu, sekumpulan penonton yang dipercayai kecewa dengan kekalahan 10-0 Malaysia kepada UAE pada 8 September mula membaling suar berwarna oren ke dalam padang di Stadium Shah Alam ketika tuan rumah sedang ketinggalan 2-1.

Berikutan insiden itu, pemain dan pegawai kedua-dua pasukan terpaksa keluar dari padang manakala penyokong Arab Saudi yang berada di kawasan tempat duduk turut melarikan diri selepas asap suar memenuhi kawasan stadium.

Seramai 11 penonton ditahan, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa sebelum ini berkata pihaknya `sangat mengambil berat' dengan keganasan dan menyokong sebarang siasatan dilakukan oleh FIFA.

Kekecohan penonton dalam aksi Malaysia menentang Arab Saudi dikaitkan dengan kumpulan penyokong tegar dikenali Ultras Malaya, yang mendakwa FAM tidak cekap dan mengancam untuk mengganggu perlawanan itu.