GENEVA: Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino semasa mengadakan pertemuan dengan penyerang Real Madrid, Vinicius Junior pada Khamis berkata, bola sepak tidak boleh diteruskan apabila wujud diskriminasi.

Infantino turut bertemu pasukan kebangsaan Brazil dan Presiden Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF), Ednaldo Rodrigues untuk membincangkan penubuhan pasukan petugas menentang perkauman dalam bola sepak dan beliau berikrar Vinicius Junior akan memainkan peranan penting, lapor Xinhua.

Penyerang antarabangsa Brazil berusia 22 tahun itu menjadi mangsa beberapa insiden perkauman pada musim ini dan yang terbaru bulan Mei lalu apabila beliau 'diejek' oleh peminat ketika aksi Real Madrid menentang Valencia.

"Tiada bola sepak jika ada perkauman!".

"Adalah sangat penting bukan hanya bercakap tentang perkauman dan diskriminasi, tetapi untuk mengambil tindakan dengan cara yang tegas dan meyakinkan - toleransi sifar.

"FIFA bersama-sama Konfederasi Bola Sepak Brazil dan kesemua pemain memperjuangkan perkara ini. Adalah penting untuk memperkenalkan sekatan sukan dan saya mengucapkan tahniah kepada CBF kerana telah melakukannya," kata Infantino selepas pertemuan di Barcelona, Sepanyol. - BERNAMA