Orang ramai dinasihati menggunakan pengangkutan awam untuk ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang.

Ini ekoran pertembungan dua acara lain yang turut akan diadakan di lokasi sama pada hari tersebut.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP S.Markandan berkata orang ramai digalakkan menggunakan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), bas atau teksi untuk ke stadium Sabtu ini untuk mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Dua acara lain yang akan berlangsung di perkarangan stadium berkenaan ialah Perhimpunan Anak-Anak Sarawak Seluruh Malaysia yang dijadual dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem serta acara perayaan keagamaan Buddha, katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Markandan berkata buat masa ini polis tidak akan menutup jalan atau membuat lencongan aliran trafik di sekitar stadium pada hari tersebut, namun pihak polis akan mengeluarkan kenyataan media sekiranya berlaku sebarang perubahan lalu lintas kelak.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), Lim Jin Aun berkata Prasarana menyediakan koc LRT tambahan sekiranya perlu tetapi ia bergantung kepada jumlah penumpang pada hari berkenaan.

"Penggunaan perkhidmatan LRT sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesesakan trafik pada hari tersebut dengan waktu operasi LRT di stesen Sri Petaling dan Bukit Jalil dilanjutkan pada waktu malam sekiranya perlawanan Piala Malaysia antara JDT dan Pahang berakhir lewat," katanya.

Pegawai Perhubungan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Hassan Azhari Abu Bakar berkata DBKL akan turut membantu polis pada hari tersebut dengan menempatkan anggota penguat kuasanya untuk memastikan aliran lalu lintas berjalan lancar.

DBKL tidak akan melakukan sebarang perubahan aliran trafik di sekitar Bukit Jalil dan Sri Petaling namun pengumuman akan dibuat kepada orang ramai sekiranya ada perubahan.