KELAB Perancis, Sochaux-Montbeliard diturunkan dari Ligue 2 ke Divisyen Tiga selepas Les Lionceaux berkata pemilik Kumpulan Nenking dari China gagal mendapatkan jaminan kewangan untuk mereka kekal di divisyen dua.

DNCG, entiti yang mengawal kewangan kelab mengumumkan penyingkiran pentadbiran Sochaux bulan lalu walaupun Les Lionceaux menduduki tempat kesembilan dalam kedudukan liga, 10 mata di atas zon penyingkiran.

Sebagai rekod, Les Lionceaux adalah antara ahli pengasas Liga Perancis, telah merayu keputusan itu, namun DNCG mengesahkan penyingkiran mereka awal minggu ini.

Sochaux berkata, Les Lionceaux telah mengurangkan bil gaji kelab secara drastik dan memindahkan pemain untuk mengurangkan kos.

Namun jelas kelab yang berpusat di City of Montbeliard itu memerlukan perlindungan daripada Kumpulan Nenking untuk menampung unjuran defisit kepada 30 Jun 2024 yang gagal menjadi kenyataan.

“Memandangkan situasi dalam pasaran hartanah China, yang kembali merosot pada suku kedua 2023, Kumpulan Nenking tidak berupaya menjana tunai yang mencukupi untuk menampung defisit yang diunjurkan oleh FC Sochaux-Montbeliard (FCSM).

"Jadi tanpa bukti pemindahan bank dari China, FCSM hadir di hadapan jawatankuasa rayuan DNCG. Yang terakhir mengesahkan keputusan mereka diturunkan pangkat ke National 1.

"Pengurusan FC Sochaux-Montbeliard berkongsi kesedihan semua penyokong dan pekerja kelab, dan kesal dengan akibat daripada situasi ini," kata kelab itu.

Dalam pada itu, Sochaux kini sedang berusaha membentangkan bajet baharu yang membolehkan mereka bermain di peringkat ketiga musim depan.

Kumpulan Nenking, sebuah konglomerat swasta yang berpangkalan di wilayah Guangdong, China. - Sinar Harian