KUALA LUMPUR: Percaturan menggandingkan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuahkan hasil selepas mereka berdua muncul Juara Beregu Campuran Cabaran Antarabangsa Bangladesh semalam.

Tang Jie-Ee Wei yang digabung padan oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky, menjadi juara beregu kejohanan itu selepas menewaskan pasangan Thailand Phatharathorn Nipornam-Alisa Sapniti 21-15 21-13 di Stadium Tertutup Shahid Tajuddin Ahmed, Dhaka.

Tang Jie sebelum ini bergandingan dengan Peck Yen Wei sementara Ee Wei berpasangan dengan Hoo Pang Ron.

Cabaran Antarabangsa Bangladesh merupakan kejuaraan antarabangsa pertama mereka.

Tang Jie-Ee Wei merupakan satu-satunya wakil Malaysia yang mara ke final selepas rakan sepasukan terdiri daripada beregu campuran Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing: beregu lelaki, Leong Jun Kai-Jimmy Wong dan Tan Kok Xian-Tan Yi Han selain beregu wanita Go Pei Kee-Teoh Mei Xing berakhir setakat separuh akhir.

Ini merupakan satu permulaan yang baik untuk mereka yang menghadapi cabaran melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pasangan itu akan menyertai Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak dari 13 hingga 18 Dis.

-- BERNAMA