SKATEBOARDING adalah salah satu acara yang akan dipertandingkan di Olimpik Tokyo 2020.

Berdasarkan komen-komen orang yang mempertikai pemilihan papan selaju sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan di Olimpik, mereka sebenarnya tidak menyedari apa yang berlaku di belakang tabir melibatkan pembangunan pemain-pemain papan selaju dari segi kecergasan, mental dan juga pemulihan.

Ada yang mempersoalkan papan selaju tidak mempunyai pertubuhan atau badan tadbir sukan yang mengendali sukan itu dan juga ia tiada kejohanan bertaraf dunia.

Namun semua itu tidak menghalang untuk tuan rumah, Tokyo memilih lima sukan baharu yang mahu dipertandingkan Jepun, dan skuasy, yang mempunyai 20 juta pemain di seluruh dunia, tidak dipilih selepas tiga bidaan.

Usaha menarik golongan muda menonton Olimpik dan nilai tambah yang mampu dibawa skateboarding adalah kelebihan yang dimiliki berbanding skuasy, yang sudah dimainkan sejak 1830.



Ada juga mempertikaikan jumlah atlet dan membandingkannya dengan skuasy, namun apa yang pasti, dua sukan ini mempunyai pentas yang berbeza, justeru tidak perlu dibandingkan.

Keperluan bermain papan selaju dari segi kelincahan dan kekuatan, tidak sama seperti bola sepak mahupun skuasy, tenis, E-Games dan Breakdancing yang dijangka dipertandingkan pada Olimpik Paris 2024.

Bagi saya, bukan semua orang boleh bermain skateboard termasuklah atlet yang mempunyai tahap kecergasan yang tertinggi.

Mereka belum tentu boleh melakukan apa yang dilakukan atlet skateboarding yang bersaing di Street League Skateboarding (SLS) selepas 5-6 tahun berlatih.



Tetapi saya yakin, top 20 atlet yang bakal layak ke Olimpik Tokyo 2020, tidak memerlukan masa yang lama untuk mampu bersaing dengan atlet sukan lain, berdasarkan tahap kecergasan, semangat juang dan atheletism yang dimiliki mereka.

Pelbagai usaha dilakukan Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) untuk menjadikan sukan itu lebih menarik untuk ditonton di televisyen, namun ia masih tidak mampu meyakinkan tuan rumah untuk memilihnya sebagai salah satu program Olimpik.

Bidaan yang dibuat untuk Olimpik 2020 juga tidak sesuai kerana Jepun bukanlah salah satu kuasa besar sukan itu.

Setahun sebelum Olimpik, Go Skateboarding Day (GSD) atau Hari Papan Selaju Sedunia ini membawa erti yang masih sama.

Olimpik bukanlah sasaran utama bagi kebanyakan penggiat sukan itu dan ada yang masih menganggap penerimaannya seakan mencemar imej papan selaju yang dianggap hanya satu gaya hidup.

Mereka bimbang Olimpik akan mengubah gaya hidup dan cara skateboarding dimainkan.

Namun selepas saya menyaksikan beberapa siri kejohanan kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020 untuk papan selaju, jelas sekali tiada yang berubah dari segi budaya dan cara ia dipersembahkan kepada dunia.

GSD yang disambut setiap 21 Jun, masih diteruskan dimana ia diasaskan Persatuan Syarikat-Syarikat Papan Selaju Antarabangsa (IASC) bagi mempromosi sukan itu, bukan mana-mana badan tadbir sukan yang ada kaitan dengan Olimpik.

Sambutan pertama GSD diadakan pada 2004 oleh IASC untuk mewujudkan akses yang lebih mudah kepada orang ramai mencuba bermain papan selaju di seluruh dunia.

Sambutan GSD pertama di Malaysia diadakan di Kuala Lumpur pada 2008 di sebuah taman riadah berdekatan KLCC.

Dengan kemasukan papan selaju ke dalam Olimpik, jumlah pemain papan selaju dijangka bertambah apabila ia diterima oleh semua golongan.

Happy Go Skateboarding Day!


*Ian Johan Ariff adalah wartawan dan penerbit di Astro AWANI. Beliau juga adalah peminat sukan papan selaju dan memantau secara rapat perkembangan sukan itu.

*Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.