Manfaatkan kestabilan politik untuk rancang program demi rakyat - PM Anwar

Menurut Perdana Menteri Anwar, semua pihak perlu memanfaatkan kestabilan politik yang dikecapi negara buat masa ini untuk merangka dan melaksanakan program jelas demi kebaikan rakyat. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu memanfaatkan kestabilan politik yang dikecapi negara buat masa ini untuk merangka dan melaksanakan program jelas demi kebaikan rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kestabilan politik Malaysia kini membolehkan kerajaan mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik, mengurangkan kadar pengangguran dan merekodkan kadar kemasukan pelaburan tertinggi dalam sejarah.
"Beberapa tahun sebelum ini, negara kita terumbang-ambing politiknya... sekarang, tiga tahun kerajaan dan politik negara stabil... Alhamdulillah, bila stabil, hasilnya kita hampir berjaya noktah kemiskinan tegar.
"Saya tidak mahu mendabik dada kata usaha saya seorang... ini usaha Jemaah Menteri yang ada tekad bersama, kemudian KSN (Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) terjemahkannya di peringkat pelaksanaan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Shamsul Azri.
Perdana Menteri bagaimanapun mengakui masih terdapat beberapa kekurangan yang perlu ditangani bagi memastikan kejayaan yang lebih gemilang.
"Bukan maksudnya (ada kelemahan) itu kita meremehkan apa yang telah kita lakukan, tetapi kita perlu akui ada ruang untuk diperbaiki.
"Saya tekankan kadang-kadang dalam pertarungan kita, baik (daripada segi) politik, perselisihan faham, ideologi, kaum, suku kaum dan negeri, kadangkala hilang nilai kemanusiaannya," kata beliau.
Mengulas mengenai usaha berterusan Kerajaan MADANI memerangi rasuah, Anwar melahirkan rasa dukacita dengan kewujudan satu trend yang cenderung mengagung-agungkan pemberi rasuah.
"Kita kata kita benci rasuah tetapi bila ambil tindakan, kalau kena kepada kawan kita, kita marah.
"Bukan setakat itu, kita sekarang ada pula trend aliran untuk mendewakan dan mengagungkan pemberi rasuah, saya fikir (ini) sangat menggusarkan kerana ini tidak akan mampu mengangkat negeri dan negara kita," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


