SANA-SINI masih kecoh memperkatakan tentang gol luar biasa yang dijaringkan pemain Pulau Pinang, Faiz Subri dalam perlawanan bola sepak Liga Super 2016 di Stadium Bandaraya, pada Selasa.

Tanpa menafikan kehebatan gol tersebut, netizen mula berkongsi pengetahuan masing-masing tentang bagaimana gol sedemikian boleh terhasil.

Ada yang menggunakan analisis dan pengalaman mereka dari pelbagai sudut ilmu yang sangat menarik untuk dibincangkan bersama. Ada pula yang sekadar bersembang kosong untuk bersuka-suka tanpa disertai teori yang boleh diguna pakai.

Walau apapun reaksi mereka menunjukkan kepandaian masing-masing dalam perkara tersebut, ternyata jaringan bergaya Faiz itu menjadi peristiwa penting yang mencipta jutaan lagi peminat bola sepak negara.

Laman Facebook Daily Sukan adalah antara yang memperincikan penghasilan gol berkenaan melalui teori Fizik, di mana Teorem Bernoulli digunakan sebagai medium analisis.

Video ni #abgdin dah share minggu lepas tapi tak tau la korang tengok ke tidak, Mari kita belajar balik Fizik dizaman...

Posted by Daily Sukan on

Teorem Bernoulli menjelaskan bagaimana tekanan bendalir berkurangan pada titik di mana kelajuan bendalir meningkat. Dalam kes ini, ia merujuk kepada bagaimana bola yang berputar menarik udara di sekelilingnya.

Turut dimuatkan dalam penjelasan ini ialah petikan pandangan seorang pelajar kejuruteraan yang berpendapat tendangan itu dibuat Faiz di sebelah kiri, dengan paksi bola ditegakkan. Ia menjelaskan bagaimana lencongan bola itu naik serentak kiri dan kanan.

Perbezaan tekanan udara tinggi dan rendah kemudiannya membawa bola yang ditendang melencong ke gawang, walaupun jika dilihat pada mata kasar, ia sepatutnya melantun terus ke hadapan tanpa lencongan.

Sebuah lagi laman Facebook, Axello Tacts, lebih gemar melihat gol yang dihasilkan itu dari sudut teknikal bola sepak, tanpa menafikan kewujudan elemen saintifik.

Anda terpegun dengan freekick Faiz Subri ? KNUCKLE BALL KE TU ?Ciri Ciri bola knuckle ballBola bergerak deras...

Posted by Axello Tacts on

Gol Faiz terhasil dari knuckleball, atau dalam bahasa Melayu ringkas, bola yang berkelajuan tinggi dalam keadaan separuh pegun ketika dilencongkan.

Menariknya, Axello Tacts turut berkongsi tip untuk menghasilkan gol sedemikian, antaranya memberi perhatian khusus pada jarak larian sebelum mengambil tendangan, serta di mana tendangan (pada bola) perlu dibuat.

BACA: Faiz Subri padam jaringan unik Roberto Carlos - Mirror UK

BACA: Faiz Subri gila!

Faiz, 29, yang bermain di posisi attacking midfielder, mengakui sering membuat latihan tendangan percuma selama 15 minit setiap kali selepas tamat latihan, demi mendapatkan tendangan yang tepat.

Gol yang dijaringkan Faiz ketika menentang Pahang Selasa lalu itu, disifatkan lebih menarik daripada gol yang dijaringkan Roberto Carlos ketika Brazil menentang Perancis pada tahun 1997.

Seorang lagi pemain Malaysia, Hardi Jaafar, antara yang pernah menghasilkan gol yang hampir serupa dalam perlawanan Piala Tiger (kini Piala AFF Suzuki) menentang Singapura pada tahun 2007.