Pelumba Petronas Sprinta Racing, John McPhee memberi saingan sengit apabila berjaya menduduki tempat kelima dalam kategori Moto3 Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno, pada Ahad.

Pelumba Britain berusia 26 tahun itu memulakan saingan di petak ke-18 sebelum mencatatkan masa 39 minit 06.879 saat, hanya 0.509s di belakang pelumba Itali, Dennis Foggia daripada Leopard Racing yang merangkul kemenangan sulung musim ini.

Pelumba Sepanyol, Albert Arenas daripada pasukan Gaviota Aspar di tempat kedua dikuti pelumba Jepun, Ai Ogura daripada Honda Team Asia, masing-masing dengan perbezaan 0.205s dan 0.251s. di belakang juara.

Pencapaian tersebut menyaksikan McPhee kini menduduki tangga ketiga keseluruhan kategori Moto3 dalam carta kejuaraan Dunia MotoGP dengan mengumpul 51 mata selepas empat perlumbaan.

" Saya begitu gembira dapat mencapai kedudukan kelima selepas bermula daripada petak ke-18. Perbezaan mata yang tipis dalam carta begitu sengit dan saya tidak sabar untuk memberi saingan pada GP Austria hujung minggu depan," kata McPhee dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukannya..

Rakan sepasukan McPhee, Khairul Idham Pawi yang dikenali KIP menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 dengan catatan masa 39'30.136s.

Bagaimanapun, pelumba itu bersyukur mampu menamatkan perlumbaan walaupun bergelut dengan kecederaan jari yang dialami dalam sesi kelayakan semalam.

Dalam perlumbaan Moto2, pelumba Petronas Sprinta Racing Xavi Vierge dari Sepanyol berjaya mengumpul empat mata selepas menamatkan saingan di tangga ke-12 daripada 25 pelumba dengan mencatatkan masa 39'32.957s.

Bagaimanapun, rakan sepasukan Jake Dixon dari United Kingdom, gagal menamatkan perlumbaan apabila jenteranya mengalami masalah teknikal pada baki 10 pusingan.

-- BERNAMA