VALTTERI Bottas menjuarai Grand Prix (GP) Russia untuk mengecewakan Lewis Hamilton yang dalam usaha untuk menyamai rekod kemenangan terbanyak milik Michael Schumacher.

Bottas meraih kejayaan keduanya musim ini selepas perlumbaan pembukaan di Austria untuk merapati kedudukan rakan sepasukan di kem Mercedes itu bagi gelaran pelumba.

Pendahulu kejuaraan, Hamilton, terpaksa berpuas hati di tempat ketiga di belakang Max Verstappen apabila penalti yang dikenakan itu terbukti memainkan peranan penting.

Selepas melalui apa yang digambarkannya sebagai sesi kelayakan yang mengerikan semalam untuk meraih petak utama, pemandu Britain itu berdepan disiasat atas memasuki kawasan yang tidak dibenarkan di Sochi.

Juara dunia enam kali itu berjaya mengatasi Bottas yang cuba memulakan perlumbaan dengan agresif apabila mengekalkan kedudukannya pada awal saingan yang turut membabitkan kereta keselamatan.

Sebaik perlumbaan bersambung, Hamilton diberitahu bahawa dia telah dikenakan penalti 10 saat dalam insiden pusingan ke-17 ketika cuba bertukar kepada tayar jenis keras.

Dia di tempat ke-11 sebaik memasuki semula litar dan sambil mampu melangkah ke lapangan, impiannya untuk melakar kejayaan ketiga berturut-turut di Russia -- keputusan yang akan membolehkannya menyamai jumlah 91 kemenangan pemandu legenda kelahiran Jerman itu -- tertangguh.

Namun, Mercedes tetap mengekalkan rekod 100 peratus di litar itu yang menyaksikan Bottas tidak menghadapi masalah untuk mengungguli perlumbaan dengan lapan saat mendahului pemandu Red Bull, Verstappen.