Jenazah pelumba Cub Prix, Mohd Hafiz Nor Azman yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, petang Ahad, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai, di sini, pada Isnin.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan lebih 500 jemaah di Masjid Saidina Umar Al Khattab di kampung tersebut kira-kira jam 11 pagi.

Ketika perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Dataran Bandar Penawar kira-kira jam 4 petang Ahad, Mohd Hafiz, 22, terlanggar penghadang iklan, lalu terjatuh.

Beliau meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

Allahyarham yang mewakili Petronas Racing Team-CKJ menggalas tanggungjawab sebagai pelumba harapan pasukan berkenaan dalam kategori CP150.

Allahyarham merupakan seorang pelumba muda berbakat dari Perak dan anak kepada bekas pelumba Cub Prix, Nor Azman Mad Darus, 54.

Nor Azman ketika ditemui berkata Mohd Hafiz mengumpul hadiah kemenangan untuk membawanya dan isteri Rohana Hamzah, 52, dan anak kakak Allahyarham mengerjakan umrah bulan depan.

“Dia simpan semua duit kemenangan dan berhajat nak bawa saya, mak dan kakak menunaikan umrah.

"Saya beritahu biarlah dia pergi dulu, ada rezeki saya pergi kemudian. Tetapi dia tetap nak bawa saya dan mak, itu yang saya terkilan sangat," katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Serdang Permai.

Nor Azman berkata arwah anaknya seorang yang sangat baik terhadap kedua-dua ibu bapa.

Katanya, sejak mula berlumba pada tahun 2010 hinggalah kepada insiden yang berlaku semalam, dia dan isteri Rohana Hamzah, 52, sentiasa menemani dan memberikan sokongan kepadanya.

"Hafiz sangat rapat dengan ibu, bahkan pada malam sebelum perlumbaan dia tidur bersama ibunya.

"Sehingga hari ini ibunya masih lagi bersedih dengan insiden yang menimpa Hafiz," katanya yang ditemui dikediamannya di Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai di sini hari ini.

Nor Azman berkata pihaknya menyerahkan segala siasatan berhubung insiden itu kepada pihak penganjur.

"Adakah litar itu selamat atau tidak, harap pihak lain turut lihat perkara sama takut benda ini (insiden) berulang lagi,” ujarnya.