Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, Datuk Hamidin Mohd Amin, berikrar untuk menjadikan badan induk bola sepak kebangsaan itu sebagai badan sukan yang disegani dan dihormati.

Bekas Naib Presiden FAM itu, yang akan memulakan tugas baharunya secara rasmi bermula 1 Julai ini, berkata beliau telah memulakan tugas secara tidak rasmi hari ini termasuk mengadakan perbincangan dengan ahli exco FAM mengenai tanggungjawab baharu beliau di Wisma FAM.

"Saya telah dititahkan oleh Tuanku Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) untuk memulakan tugas berkenaan segera dan Insya-Allah, saya akan memulakan tugas baharu ini selewat-lewatnya awal minggu depan.

"Saya ingin menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku Presiden FAM melantik saya sebagai Setiausaha Agung FAM. Ini satu amanah yang berat untuk dipikul bersama ahli exco FAM yang lain dan saya berikrar untuk memastikan FAM terus dihormati selaku badan induk bola sepak negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan perlawanan akhir Piala FA 2013 antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, esok.

Semalam, Sultan Ahmad Shah mengumumkan pelantikan Hamidin sebagai Setiausaha Agung FAM bagi menggantikan Datuk Azzuddin Ahmad yang dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Mengulas lanjut, Hamidin, yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), berkata beliau akan menghadap Penaung FAS, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam tempoh terdekat bagi membincangkan pengganti beliau.

"Saya juga akan mengadakan perjumpaan dengan Presiden FAS, Tan Sri Khalid Ibrahim selewat-lewatnya minggu depan untuk tujuan yang sama," katanya.

Pada masa yang sama, Hamidin turut menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa Wisma FAM yang terletak di Kelana Jaya akan dijual kepada pihak luar.

Sultan Ahmad Shah pada sidang media khas semalam turut mendedahkan bahawa FAM telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Pusat untuk membina sebuah bangunan baharu menempatkan pentadbiran FAM dan AFF di atas sebidang tanah seluas 3.24 hektar di Putrajaya.

"Setakat yang dimaklumkan kepada saya, kita (FAM) belum berhasrat untuk menjual Wisma FAM.
"Kemungkinan segala keputusan berkenaan dengan perkara itu akan diputuskan selepas saya mengadakan perbincangan dengan Sultan Ahmad Shah dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Selain memegang jawatan selaku Naib Presiden FAM dan Setiausaha Agung FAS, Hamidin turut memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.