HANOI: Ketua Jurulatih Bola Sepak Vietnam Park Hang Seo tidak terlalu teruja dengan rekod keputusan baik pertembungan pasukannya sebelum ini dengan Malaysia, menjelang perlawanan Kumpulan B Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Stadium Nasional My Dinh, di sini malam esok.

Jurulatih dari Korea Selatan yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Golden Star Warriors itu selepas kejohanan itu berkata rekod kejayaan cemerlang tanpa kalah pasukannya kepada Malaysia, tidak bermakna apa-apa.

"Sepanjang lima tahun saya di Vietnam, termasuk ketika membimbing pasukan remaja, saya tidak pernah tewas kepada Malaysia, namun ia tidak bermakna apa-apa, ia hanya satu rujukan dan tidak boleh kita gunakan bagi menyatakan apakah keputusan perlawanan esok.

"Apa yang saya boleh katakan yang saya percaya dan yakin kepada pemain saya, dan sasaran untuk bertemu Malaysia kami akan lakukan yang terbaik untuk menang perlawanan itu," kata jurulatih berusia 65 tahun pada sidang media praperlawanan berlangsung di ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) di sini hari ini.

Pada masa sama, Hang Seo menganggap pasukan Malaysia masa ini adalah pasukan yang terbaik, walaupun menghadapi kempen Piala AFF ini tanpa beberapa pemain utama.

"Saya rasa pasukan Malaysia masa ini adalah yang terbaik. Mereka mempunyai pengalaman yang bagus dan apa yang perlu kami lakukan ialah meletakkan pemain dan formasi yang betul berhadapan Malaysa. Kami menumpukan kepada pelan permainan kami," katanya.

Beliau turut memuji pencapaian ketua jurulatih Malaysia yang juga rakan senegaranya Kim Pan Gon, selepas beliau berjaya memperbaiki prestasi skuad Harimau Malaya.

Sementara itu pemain tengah Vietnam Nguyen Hoang Duc berkata: "Saya baru tahu mengenai jurulatih Malaysia ketika Piala AFF, berdasarkan kepada dua perlawanan terakhir Malaysia, saya lihat pasukan ini amat berbeza sekarang, amat pantas dalam serangan dan mempunyai gaya yang berbeza daripada sebelum ini."

Perlawanan esok akan menjadi pertembungan pertama antara Pan Gon dan Hang Seo, selepas Pan Gon dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya awal tahun ini.

Untuk rekod, sejak lapan tahun lepas, Malaysia tidak pernah menewaskan Vietnam dalam semua pertandingan, dengan kalah enam daripadanya dan seri sekali. Kali terakhir Malaysia menang ialah pada perlawanan kedua separuh akhir Piala AFF 22014, dengan menewaskan Vietnam 4-2.

Selepas dua perlawnaan Kumpulan B, Malaysia mendahului kumpulan itu dengan enam mata, Vietnam dan Singapura yang baru bermain sekali masing-masing tiga mata di tempat kedua dan ketiga, manakala Myanmar dan Laos di dua posisi terakhir kumpulan tanpa sebarang mata.

-- BERNAMA