PUTRAJAYA: Prestasi dipamerkan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang sehingga memenangi pingat perak acara keirin pada Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, sesuatu yang tidak memeranjatkan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata beliau melihat juara dunia keirin 2017 itu seorang atlet yang sangat dahagakan kemenangan serta sering berusaha untuk memperbaiki diri.

Beliau berkata pemikiran dimiliki Mohd Azizulhasni mencerminkan atlet berusia 35 tahun yang diberi julukan 'Pocket Rocketman' itu tidak mempunyai mentaliti 'mangsa' terutama apabila meraih kejayaan selepas menjalani pembedahan jantung terbuka, April tahun lepas.

"Mentaliti mangsa tak boleh ada dalam setiap jaguh sukan. Saya lihat dia (Mohd Azizulhasni) cemerlang dalam aspek ini berbanding atlet lain, dia tak bagi alasan tapi dia akan guna kekurangan itu untuk perbaiki diri.

"Saya berharap dia boleh bantu atlet lain untuk perjuangkan pemikiran yang sama," katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Menara KBS di sini, hari ini.

Hannah berkata dalam sukan, kesihatan dan ketahanan mental ialah elemen terpenting selain aspek ketahanan fizikal.

Mentaliti mangsa ialah sifat keperibadian seseorang yang cenderung untuk menyalahkan perkara lain serta menganggap dirinya sebagai mangsa keadaan.

Mohd Azizulhasni yang merangkul pingat perak acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa dalam acara sama pada edisi 2016 di Rio de Janeiro membawa pulang perak di Jakarta selepas hanya dipisahkan 0.024 saat (s) di belakang pelumba Belanda Harrie Lavreysen pada final Sabtu lepas.

Olahragawan Kebangsaan 2009, 2010, 2017, 2019/2020 dan 2021 itu kemudian tersingkir di peringkat suku akhir ketika turun bersaing dalam acara pecut keesokan harinya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas apakah jaminan KBS untuk terus membantu Mohd Azizulhasni dalam persediaan ke Sukan Olimpik Paris 2024, Hannah berkata perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat selepas pihaknya memuktamadkan mengenai Jawatankuasa Road To Gold.

-- BERNAMA