PEMAIN tengah Napoli, Allan, memberikan amaran bahawa kehadiran Cristiano Ronaldo tidak akan memastikan Juventus memenangi gelaran Serie A.

Pemain berusia 33 tahun itu melakukan penampilan sulung untuk Juve ketika mengatasi Chievo 3-2 selepas menyertai kelab itu daripada Real Madrid, Julai lalu.

Ronaldo gagal mencipta jaringan dalam perlawanan tersebut tetapi penampilannya telah meningkatkan jumlah tontonan perlawanan tersebut -- laporan mendedahkan bahawa 2.3 juta penonton menyaksikan perlawanan tersebut dalam Sky Sport Italia.

Allan, yang membantu Napoli meraih kemenangan 2-1 ke atas Lazio, gembira menyaksikan impak Ronaldo buat bola sepak Itali dan berasakan ia akan melonjakkan Serie A.

BACA: Hasil ujian kecergasan Ronaldo buat pasukan perubatan Juventus terkejut

Bagaimanapun, bekas pemain Udinese itu menegaskan seorang pemain tidak akan menjamin mereka akan terus bersaing merebut gelaran liga.

"Kehadirannya di Itali telah melonjakkan bilangan tontonan dan ia memberikan kami semangat untuk terus bersaing," katanya.

"Ia adalah penting menyaksikan pemain terbaik dunia beraksi di Itali. Kehadirannya sangat penting, meningkatkan lagi mutu Juve tetapi seorang pemain tidak mampu memenangi Serie A.

"Kami percaya dengan kemampuan pasukan dan akan bersaing dengan Juventus," katanya lagi.