Sejak 2003 lagi, pasukan bola sepak Pulau Pinang menghadapi pelbagai krisis termasuk penurunan prestasi yang mendadak, masalah kewangan selain tuduhan rasuah.

Pada 2010, skuad harimau kumbang akhirnya tersingkir ke Liga Premier sebelum terus jatuh ke Liga FAM pada tahun berikutnya.

Selepas lima tahun, Pulau Pinang akhirnya bakal kembali semula ke liga utama Malaysia sekaligus menjadikan #HariaPenangHaria trending di Twitter.

Namun penyokong Pulau Pinang terpaksa menunggu sehingga hari terakhir liga selepas pesaing terdekatnya, T-Team merampas kedudukan tempat kedua iaitu slot layak ke Liga Super secara automatik dengan kelebihan perbezaan gol.

Nasib menyebelahi Pulau Pinang yang berjaya menewaskan UiTM FC 2-0 dan T-Team dikalahkan Kuantan FA 2-1 pada malam terakhir Liga Premier 2015.

Keputusan itu membolehkan Pulau Pinang mengiringi Kedah ke Liga Super 2016 selaku naib juara.

Penyokong tegar Pulau Pinang, Ultras Panthers mengucapkan tahniah kepada pengurusan, pemain serta penyokong pasukan itu kerana bersatu untuk merealisasikan impian bermain di Liga Super.

Sudah pasti kejayaan itu amat bermakna buat kapten pasukan, Rafiuddin Roddin yang menyambut hari kelahiran ke-26 hari ini.


Namun ramai peminat berharap, Pulau Pinang merangka pelan jangka panjang untuk pasukan itu terus kekal di Liga Super kerana terpaksa bersaing dengan gergasi bola sepak tempatan seperti JDT dan Selangor.

Akaun Twitter Penang Brotherhood pula menyeru agar warga Pulau Pinang membanjiri Stadium Bandaraya untuk berdepan penyokong pasukan tempat lawan.

Ini kerana pasukan seperti Selangor sudah pasti membawa bersama seribu penyokongnya setiap kali skuad itu beraksi di tempat lawan.