Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengharapkan pasukan Harimau Malaya akan menempah kemenangan selesa sewaktu berdepan Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Shah Alam pada Ahad.

Katanya pasukan kebangsaan pimpinan Dollah Salleh itu perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 pada malam Ahad sebagai bekalan di tempat lawan.

Harimau Malaya juga perlu menang pada perlawanan tersebut bagi memberi tekanan kepada pihak lawan.

“Kita harapkan kemenangan selesa di Stadium Shah Alam malam esok sebab perlu bawa keputusan yang selesa ke Hanoi. Strategi dia jangan kita kejar di tempat lawan, kita kalau boleh biar mereka kejar kita dan kita pertahankan . Biar tekanan itu di tempat mereka bukan kita kalau nak pastikan tekanan pada mereka. Pastikan kemenangan sekurang-kurangnya 2-0.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program sesi Town Hall mengenai Keharmonian Negara di AEON Permas Jaya Johor yang turut disertai wartawan Astro AWANI, Ashwad Ismail sebagai moderator.

Pertembungan Malaysia selaku juara 2010 dengan Vietnam (juara 2008) dijangka sengit dan mendebarkan berikutan kedua-dua pasukan itu baru bertemu pada 16 November lalu di Hanoi yang mana keputusan berpihak kepada tuan rumah 3-1.