Pasukan Harimau Muda A mengalami kekalahan pertama mereka dalam Jelajah Australia selepas tunduk 1-2 kepada kelab Liga Perdana Australia (APL), Brisbane Olympic, pada perlawanan ketiga di Goodwin Park, Brisbane, Australia hari ini.

Mereka sebelum ini mencatatkan dua kemenangan ke atas dua pasukan dari APL, Palm Beach Sharks dengan keputusan 5-1 pada Sabtu lepas serta menumpaskan Brisbane Lions SC, 2-1, Rabu lepas.

Pada perlawanan tersebut, skuad Ong Kim Swee ketinggalan dua gol hasil pada minit ke-19 dan 36 sebelum Ferris Danial Mat Nasir merapatkan defisit jaringan pada minit ke-88.

Pasukan bawah 23 tahun kebangsaan itu yang dalam rangka persiapan untuk mempertahanankan pingat emas Sukan SEA di Myanmar, hujung tahun ini, akan menamatkan aksi persahabatan menentang juara Liga Australia (A-League) musim 2011/2012, Brisbane Roar, pada 5 Feb ini.

Sementara itu, Kim Swee dalam twitternya berkata kegagalan anak didiknya memanfaatkan peluang yang terhidang terutamanya pada separuh masa kedua telah memberi keyakinan pada pihak lawan untuk bertahan selepas mereka mendahului dua gol pada separuh masa pertama.

"Pengajaran penting bahawa kesilapan di peringkat antarabangsa akan membawa padah namun peluang yang dicipta harus diperbaiki dengan gol," katanya.

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh penjaring tunggal perlawanan, Ferris Danial yang mengakui rakan sepasukan harus memperbaiki prestasi mereka sekiranya ingin mencatatkan kemenangan pada perlawanan akan datang.

"Banyak yang perlu diperbaiki..takde luck (tuah) untuk menang..alhamdulillah dapat jaringkan gol, motivasi untuk naikkan kembali keyakinan dalam diri," katanya menerusi twitter beliau.

Selepas aksi persahabatan di Australia, skuad Harimau Muda A dijangka mengadakan latihan selama lima bulan di Slovakia bermula 15 Mac sehingga Ogos, dan dijadual mengadakan 15 perlawanan persahabatan.

Sekembalinya dari Slovakia, pasukan berkenaan dijangka menyertai Pesta bola Merdeka dan Piala Thanh Nien (Newspaper Cup) di Vietnam.