JURULATIH skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, tetap memuji aksi dipamerkan anak-anak buahnya walaupun tewas 5-1 kepada Australia dalam saingan hoki Piala Sultan Azlan Shah pada Sabtu.

Walaupun skuad negara membuka tirai jaringan terlebih dahulu, namun jaringan tiga gol dalam masa tiga minit dalam suku ketiga memusnahkan harapan skuad negara untuk melakar kejutan ke atas calon pingat emas Sukan Olimpik Rio itu.

"Kami tewas dalam suku ketiga apabila tiga gol bolos dalam masa tiga minit. Tiga gol itu menyebabkan pemain saya mula hilang tumpuan," katanya.

Van Huizen, bagaimanapun, enggan mengkritik mana-mana pemain yang menjurus kepada jaringan tiga gol tersebut.

"Saya enggan mengkritik mana-mana pemain kerana pada saya pemain telah membuktikan mereka mampu beraksi dengan baik, tambahan pula mereka berjaya menjaringkan gol," jelasnya.

Sementara itu, kapten Australia teruja beraksi di stadium yang di banjiri peminat setia sukan itu.

"Kami dapat apa yang kami mahukan malam ini, stadium yang penuh dengan penonton di samping berdepan pasukan yang memberikan segala-galanya untuk menentang kami. Yang penting, penonton terhibur dengan persembahan kedua-dua pasukan," katanya.