Bekas penyerang Manchester United berusia 39 tahun itu membantu kemenangan Milan sebagai pemain gantian ketika menentang Lazio kelmarin dengan menyumbangkan jaringan kedua dalam kemenangan 2-0.
Selepas berehat empat bulan akibat kecederaan lutut, penggempur Sweden itu dilaporkan mengadu tidak selesa di bahagian tumit hingga memaksanya terkeluar daripada perancangan untuk bertandang ke Anfiel, awal pagi esok.
Ini bermakna pengurus, Stefano Pioli, hampir pasti menamakan Ante Rebic atau bekas penyerang Arsenal dan Chelsea, Olivier Giroud, sebagai sandaran untuk merobek kubu barisan kendalian Jurgen Klopp itu.
Begitupun, Pioli mengakui Giroud tidak akan mampu beraksi sepanjang 90 minit memandangkan baru pulih daripada COVID-19.
Bercakap dalam sidang media, Pioli mengatakan: "Zlatan mengalami keradangan. Dia sudah diuji pagi ini tetapi tiada gunanya mengambil risiko pada awal musim ini.
"Saya pada awalnya menjangkakan AC Milan akan diperkuatkan Zlatan dan saya fikir dia akan kembali tidak lama lagi. Ketiadaannya adalah sebahagian daripada bola sepak; Saya perlu memilih di antara Ante dan Olivier, kami mempunyai sandaran yang lain."
Ibrahimovic berpengalaman luas dalam UCL dengan rekod 48 gol dalam 120 perlawanan, sembilan daripadanya ketika menyarung jersi Milan di antara 2010 dan 2012.
"Peningkatan kami sepanjang tahun lalu sudah pasti menarik perhatian ramai orang," kata Pioli lagi.
"Pengalaman telah membantu kami untuk berkembang dan bertambah baik. Perlawanan awal musim ini membuktikan bahawa pasukan ini tahu bagaimana cara untuk beraksi dan bagaimana mendekati permainan.
"Tahapnya lebih tinggi sekarang; itu yang kami mahukan dan ini adalah peluang buat kami untuk menunjukkan bahawa kami mampu berdepan dengan pasukan terbaik."