SETELAH berjaya membawa pingat emas pertama Singapura, Joseph Schooling kini diangkat sebagai wira di negara itu.

Dalam satu wawancara bersama akhbar The Straits Times, ibu bapa Joseph iaitu Colin dan May berkongsi tentang pengorbanan mereka, termasuk harus menjimat cermat dari segi kewangan.

Ini kerana, mereka berbelanja sebanyak S$1 juta (RM2.98 juta) untuk yuran sekolah dan tempat tinggal Schooling di Amerika Syarikat.

May berkata, mereka juga menggunakan duit simpanan dan telah menjual sebuah rumah di luar negara.

“Kita jimat di mana kita boleh jimat. Saya telah pakai seluar ini selama 30 tahun,” kata May kepada akhbar The Straits Times.

BACA: Joseph Schooling disambut bagai wira dalam acara perarakan

Selain itu, bapa Joseph Colin mendedahkan mereka harus mengambil bahagian dalam menyokong impian Joseph.

“Ia penting untuk turut serta dalam proses ini. Ia bukan sekadar membawa Joseph ke latihan dan menonton perlawanan beliau.

“Kita juga akan membaca tentang sukan ini agar kita tahu apa yang dilalui Joseph,” kata Colin kepada akhbar itu.

BACA: 7 fakta Joseph Schooling, 'ikan bilis Singapura' yang tewaskan Michael Phelps

Ibu bapa Joseph turut menjelaskan bahawa salah seorang daripada mereka akan bersama Joseph di AS agar Joseph boleh menyesuaikan diri kerana pada awalnya perenang itu merindui keluarganya di Singapura.

Pada temasya Olimpik di Rio, Schooling telah mempamerkan aski memukau untuk memenangi pingat emas 100 meter kuak kupu-kupu.

BACA: Rio 2016: Perenang Singapura cipta sejarah, tewaskan Michael Phelps

Selain menewaskan perenang hebat dari AS, Michael Phelps, kemenangan itu sekali gus mencatat rekod Olimpik dengan catatan masa 50.39 saat.