Sepak mula di majlis pembukaan Piala Dunia akan dilakukan oleh seorang individu lumpuh berkostum Iron Man yang dikawal menerusi isyarat dari otak.

Miguel Nicolelis seorang doktor dari Brazil mengetuai pasukan 156 saintis dari seluruh dunia mencipta exoskeleton futuristik, yang direka untuk membolehkan seseorang individu lumpuh untuk berjalan.

Pada majlis perasmian Piala Dunia Khamis ini di Sao Paulo, individu lumpuh yang identitinya masih dirahsiakan itu akan bangun dari kerusi rodanya untuk ke padang dan membuat sepak mula di kejohanan itu.

Litar elektronik dalam "kaki" alat itu akan menghantar kembali isyarat kepada pengguna melalui kulit tiruan yang dipakai pada lengan, untuk mencetuskan pergerakan.

"Ia adalah kali pertama sebuah exoskeleton dikawal menerusi aktiviti otak dan memberi tindak balas kepada pesakit," ujar Nicolelis, seorang saintis neuro di Universiti Duke kepada AFP.

"Melakukan demonstrasi tersebut di stadium adalah sesuatu yang di luar rutin kami dalam bidang robotik. Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini."

Individu lumpuh berkostum Iron Man buka langkah di Piala Dunia

Pasukannya cukup teruja kerana hasil kerja lebih 30 tahun dengan lebih dari 200 kertas kerja saintifik dan pelbagai ujian klinikal menghampiri satu kemuncak yang menakjubkan.

Nicolelis memulakan tugas itu pada tahun 1984 sewaktu beliau menyiapkan tesis kedoktorannya dalam bidang saraf kawalan otot.

Beliau berkata ilham untuk kostum itu terbit pada tahun 2002, apabila penerokaan robotik exoskeleton masih baru di kalangan ahli sains.

"Pada tahun 2009, apabila mengetahui yang Brazil akan menjadi tuan rumah Piala Dunia, mereka meminta saya membentangkan idea-idea untuk mempersembahkan keunikan Brazil. Saya mencadangkan demonstrasi saintifik untuk dipersembahkan kepada orang ramai bahawa Brazil berpotensi untuk melakukan perkara-perkara di luar bola sepak, " katanya.

Nicolelis berkata beliau dan sepasukan 40 orang saintis telah berkerja siang dan malam sejak Mac, apabila mereka tiba di Sao Paulo untuk membuat persiapan.

Ianya berbaloi apabila pada 24 April, pengguna lumpuh mula membuat langkah-langkah dalam exoskeleton itu.

Mereka menamakan peranti itu sebagai BRA-Santos Dumont, gabungan kod sukan tiga huruf untuk Brazil dan Alberto Santos-Dumont, seorang juruterbang di Brazil.

Lebih daripada 65,000 penonton akan berada di Corinthians Arena di Sao Paulo untuk menonton sepak mula pertama oleh BRA-Santos Dumont sebelum pasukan Brazil menentang Croatia pada perlawanan pembukaan.

Sekitar satu bilion dijangka menonton secara langsung di saluran televisyen seluruh dunia.