SHAH ALAM : PERLUMBAAN jelajah berbasikal terulung Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) berdepan kemungkinan tidak dapat dianjurkan pada tahun depan susulan tunggakan hutang kepada lima pasukan.

Tanpa mendedahkan nama pasukan terlibat, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abdul Wahab berkata, tunggakan itu mencecah lebih RM1 juta.

“Saya telah menerima laporan daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) apabila terdapat lima pasukan luar negara telah memfailkan aduan kepada mereka (UCI).

“UCI tulis surat kepada kita (PKBM) ada lima pasukan yang tak dibayar... yang tak dibayar bukan hadiah kemenangan tetapi seperti bayaran penampilan dan tiket penerbangan.

“Jadi bila kesemua pasukan terlibat tak dapat duit, mereka laporkan kepada UCI. UCI bukan nak tekan penganjur LTdL (sebelum ini) tetapi mereka datang kepada PKBM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran LTdL 2023 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya pada Selasa.

Abu Samah berkata, isu tunggakan hutang itu bukan sahaja mencalarkan reputasi baik LTdL, malah bakal menjejaskan minat pasukan luar negara untuk bersaing dalam edisi kali ini.

“Ini saya boleh katakan antara hidup mati LTdL. Pada mulanya, PKBM tidak mahu campur tangan dalam hal ini kerana ia lebih kepada urusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Tetapi apabila melibatkan penganjuran LTdL, itu semua akan berbalik semula kepada PKBM kerana UCI akan merujuk PKBM selaku badan induk berbasikal di negara ini.

“Harap KBS dan pihak MSN dapat membantu PBKM dalam menyelesaikan isu ini. Kami nak bincang dengan mereka (penganjur) tetapi gagal dihubungi.

“Kami minta daripada KBS yang mengatakan ada jumlah boleh dituntut sebanyak RM1.1 juta dan duit bon RM400,000. Sebaiknya duit itu dibayar terus kepada pasukan terlibat,” jelasnya.

Untuk rekod, sebuah syarikat pengurusan acara diberikan kontrak selama tiga tahun untuk menganjurkan perlumbaan LTdL antara 2019 hingga 2021.

Namun, ia dilanjutkan sehingga tahun lalu selepas penganjuran LTdL pada edisi 2021 terpaksa ditunda susulan pandemik COVID-19. - Sinar Harian