KUALA LUMPUR: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hanya mempunyai tempoh lapan bulan berbanding 12 bulan standard tempoh penyediaan rapi rumput padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

PSM berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai keadaan padang di SNBJ yang tidak memuaskan pada perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023 malam tadi.

"PSM sedia maklum keadaan padang di beberapa tompok bertentangan 'grand stand' yang kurang kukuh, akibat pendedahan cahaya matahari yang lebih rendah di kawasan tersebut.

"Namun, perkara ini tidak seharusnya berlaku.

"PSM telah menggunakan 'grow light' bagi merangsang pertumbuhan rumput di sekitar kawasan tompokan itu. Namun, ia tetap tidak sama dengan keupayaan sinaran matahari semula jadi.

"Keadaan hujan sepanjang minggu lepas juga tidak membantu dalam penyediaan pertumbuhan padang baharu itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, juga pemilik Johor Darul Ta'zim, mendedahkan 'sifat tak sabar' menjadi punca padang SNBJ rosak pada perlawanan bola sepak tersebut.

Menerusi media sosial, beliau memaklumkan, padang SNBJ sepatutnya diberikan lebih masa untuk akarnya kuat, seterusnya boleh digunakan untuk perlawanan bola sepak.

Sementara itu, PSM yakin perkara tersebut akan diatasi dan tompokan tertentu di padang SNBJ bakal pulih sepenuhnya menjelang Kelayakan Piala Dunia.

"Di sebalik beberapa tompokan rumput yang tercabut, PSM berpuas hati dengan keupayaan sistem perparitan baharu dan kemajuan dalam padang tersebut.

"PSM akan menggunakan sepenuhnya masa satu bulan akan datang untuk memastikan persediaan lengkap padang menjelang Kelayakan Piala Dunia bagi Malaysia," ujarnya sambil turut mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya dan peminat bola sepak negara yang hadir memberi sokongan malam tadi. 

Media tempatan melaporkan, tidak sampai tempoh 48 jam padang baharu SNBJ digunakan, ia sudah kelihatan rosak ketika pasukan Malaysia beraksi menentang India pada perlawanan malam tadi.

Padang yang bernilai jutaan ringgit itu kelihatan tercabut atau 'koyak' seawal lima minit sepak mula perlawanan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kualiti rumput yang digunakan itu.

Situasi terbabit juga mengganggu corak permainan kedua-dua pasukan apabila ada ketikanya bola melantun dan menghalang pergerakan pemain.