ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah akan mengadakan pertemuan dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membincangkan isu tunggakan cukai Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang kini meningkat kepada RM10 juta.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, beliau difahamkan pertemuan itu diatur oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan mungkin berlangsung dalam tempoh terdekat.

"Saya dapat maklum balas tak rasmi yang Setiausaha Kerajaan Negeri telah menyusun satu pertemuan dengan LHDN, KFA, KDA FC (Kedah Darul Aman FC) yang mana KDA FC buat masa ini belum ada tunggakan, tunggakan cukai ini yang lama.

"...kita minta hapus kira sebab bola ini tak ada keuntungan material, tak ada, semua (dalam bentuk) penajaan dan CSR (tanggungjawab sosial korporat), kita sahut cabaran menceburkan diri dalam pasukan bola sepak ini adalah untuk memajukan sukan untuk negara," katanya pada sidang media selepas menutup program pameran dalam talian #MyDigitalMaker 'MaiReka' 2021 di sini hari ini.

Pada 23 September lepas, Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah diberitahu bahawa jumlah tunggakan cukai LHDN bagi KFA kini meningkat kepada RM10 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah Mohd Firdaus Ahmad dilaporkan sebagai berkata jumlah itu diperoleh selepas LHDN membuat semakan semula dokumen berkaitan penggajian dari 2014 hingga 2019 pada Mac lepas.

Justeru, Muhammad Sanusi berharap LHDN dapat mempertimbang untuk menghapus kira tunggakan cukai tersebut kerana jumlah RM10 juta itu boleh digunakan untuk peruntukan bagi pembangunan dan kebajikan rakyat Kedah.

"RM10 juta ini kalau buat titi, boleh buat titi yang banyak, ini nak pi bayar cukai pemain bola sepak yang tak bayar dulu... saya harap mereka (LHDN) mendengar rintihan orang Kedah yang hadapi hujan dan banjir, ini nak kena bayar cukai pula," katanya.

Sebelum ini, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pegawai LHDN untuk meneliti semula tunggakan cukai tersebut selain berusaha menyelesaikannya bagi memohon lesen bermain pada musim depan yang memerlukan surat kebenaran lembaga hasil itu.-- BERNAMA