England akan memulakan kempen Piala Dunia mereka menentang Itali, pasukan yang menyingkirkan mereka dari kejohanan besar sebelum ini.

Musuh Kumpulan D ini akan bertemu di Manaus, dua tahun selepas perjumpaan mereka di Euro 2012 di mana Itali memenangi perlawanan suku akhir itu dengan sepakan penalti.

Beberapa pemain yang bersaing pada perlawanan tersebut di Kiev akan bergelut sekali lagi memburu mata untuk memastikan mereka berjaya mara dari kumpulan yang begitu sukar.

Dengan pasukan Uruguay yang berbahaya bertemu Costa Rica dalam perlawanan pertama kumpulan, kekalahan bagi England atau pun Itali pasti akan menyempitkan peluang mereka untuk mara.

Terdapat banyak pertukaran pemain dalam kedua-dua pasukan, dengan perbezaan pasukan England yang paling ketara.

Dipaksa menggunakan taktik bertahan dan serang balas pada permulaan perlantikannya, Roy Hodgson kini mempunyai beberapa anak buah muda yang berbakat untuk diketengahkan.

Raheem Sterling dan Adam Lallana bakal dipilih bersama Daniel Sturridge, manakala Ross Barkley juga mempunyai peluang besar untuk berada dalam skuad utama.

Barisan pertahanan baru mereka yang terdiri dari Leighton Baines, Gary Cahill dan Phil Jagielka akan diberi tugas untuk menyekat Mario Balotelli.

Wayne Rooney merupakan antara beberapa pemain yang masih kekal dari skuad dua tahun lalu dan pentas ini merupakan yang terbaik baginya menunjukkan kebolehannya di peringkat antarabangsa.

"Saya berasa hebat, dan saya kini beraksi pada tahap terbaik saya sejak beberapa tahun kebelakangan ini," Rooney berkata.

"Sebelum ini, saya pernah bermain di beberapa kejohanan dengan ditimpa kecederaan kecil. Tetapi pada ketika ini, saya belum terlepas satu latihan pun."

Cesare Prandeli juga mempunyai pilihan baru dibarisan serangan, dengan Lorenzo Insigne, Ciro Immobile dan Alessio Cerci bakal tampil buat pertama kali di kejohanan besar.

Pemain baru Borussia Dortmund Immobile, memburu tempat bersama-sama Balotelli cuba memikat Prandelli dan telah menjaringkan hatrik Ahad lepas menentang Fluminese.

Penjaring terbanyak Serie A musim lepas itu adalah diantara pemain termuda pasukan Itali manakala pemain seperti Andrea Pirlo, Andrea Barzagli dan Antonio Cassano akan memberikan pasukan itu pengalaman yang mereka perlukan di Brazil.

Pirlo terutamanya merupakan pemain yang paling banyak menyeksa The Three Lions dua tahun lepas dan dia percaya pasukan Azzurri kini beraksi pada tahap terbaik.

"Kami tahu yang England bertambah baik akhir-akhir ini dengan ramai pemain muda dibawa masuk," kata Pirlo.

"Mereka mempunyai beberapa pemain pantas, tetapi kami tahu apa yang perlu dibuat selepas memerhatikan mereka beberapa hari ini.

"Itali biasa melalui perlawanan epik bertemu England dan kami mempunyai cara sendiri untuk menangani pertemuan ini, jadi kami akan memberi yang terbaik dengan gaya kami."

Danny Welbeck dan Alex Oxlade-Chamberlain bergelut dengan masalah kecederaan dan mungkin tidak beraksi manakala Mattia De Sciglio tersisih akibat kecederaan paha.