KUALA LUMPUR: Kalendar perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 akan dipinda bermula pada 23 April ini sebagai memberi laluan kepada persiapan pasukan kebangsaan menghadapi saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun ini.

Pindaan tersebut turut mengambil kira perubahan jadual Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melibatkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), kata Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pengurusan skuad Harimau Malaya memohon untuk memulakan kem latihan pusat bermula 16 Mei depan sementara saingan Liga Juara-Juara AFC Zon Timur yang dijadual bermula 21 April sehingga 7 Mei telah dipinda bermula 21 Jun sehingga 7 Julai.

Katanya keputusan pindaan kalendar perlawanan tersebut dibuat selepas mesyuarat secara dalam talian bersama kesemua pasukan Liga-M.

"Berdasarkan jadual asal, pasukan Liga Super hanya bermain dua perlawanan dan pasukan Liga Premier bermain tiga perlawanan sepanjang bulan Ramadan. Kini menyaksikan pasukan Liga Super akan bermain lima perlawanan sementara pasukan Liga Premier bermain empat perlawanan," katanya.

Beliau turut menambah selain daripada saingan Liga Juara-Juara AFC, tumpuan turut perlu diberikan kepada dua wakil negara iaitu Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC yang bersaing dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFC secara berpusat di Singapura dari 22 sehingga 28 Jun.

Pada masa sama, Ab Ghani berkata perubahan kalendar perlawanan Liga-M turut menyaksikan tarikh tempoh pendaftaran kedua Liga-M musim ini terpaksa dipinda daripada 5 Julai sehingga 1 Ogos kepada 3 Mei sehingga 30 Mei.

Sementara itu, Ab Ghani menjelaskan saingan Liga Super dijadual berakhir pada 14 Ogos manakala Liga Premier pada 8 Ogos.

"Undian Piala Malaysia dan Piala Cabaran akan diadakan sebelum tamat saingan liga dengan menggunakan nombor kedudukan liga bagi menentukan kedudukan posisi kelab dalam kumpulan," katanya.

Dalam pada itu, MFL akan mengeluarkan jadual baharu kalendar Liga-M dalam masa terdekat.

-- BERNAMA