PENYANYI dan penulis lagu Jason Derulo dijadual membuat persembahan dalam acara sambutan bagi meraikan kejuaraan kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Sabtu, 15 Oktober 2022.

JDT dalam catatan di akaun Facebook rasmi Johor Southern Tigers mengumumkan bahawa artis antarabangsa itu akan membuat persembahan pada sambutan tersebut esok.

Sambutan itu akan diadakan selepas perlawanan terakhir Liga Super menentang Sabah di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri.


JDT bersedia untuk meraikan kejayaan merangkul juara Liga Super Malaysia sebanyak sembilan kali berturut-turut yang juga merupakan satu rekod baharu.

Pasukan itu juga telah merangkul Piala FA dan Piala Amal tahun ini.

Sementara itu, JDT II memenangi Liga Perdana Malaysia 2022 manakala Akademi JDT memenangi tujuh piala peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk Piala Presiden Bawah 21 tahun oleh JDT III.

Secara keseluruhan, JDT telah memenangi 11 trofi pada 2022.

Sambutan pada Sabtu itu turut menampilkan atlet Sukan Malaysia (Sukma) Johor, Pasukan Hoki Ais JDT, Johor Jewels (bola jaring), Johor Tigris (Sepak Takraw) dan pemain ragbi negeri.

Difahamkan tiket untuk perlawanan di stadium berkapasiti 40,000 itu telah pun habis dijual.