SULTAN Pahang, Sultan Ahmad Shah mengekalkan jawatan Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) tanpa bertanding untuk penggal kedua selepas pencabar tunggal Datuk Worawi Makudi dari Thailand menarik diri pada saat-saat akhir pemilihan.

Makudi, selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand dan anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA, mengambil keputusan itu sebelum pemilihan bermula sempena Kongres AFF ke-22 di Hotel Novotel Max di Yangon, Myanmar, hari ini.

Empat naib presiden terpilih untuk penggal 2015-2019 ialah Mejar Jeneral Khiew Sameth (Kemboja), U Zaw Zaw (Myanmar), Dr Tran Quoc Tuan (Vienam) dan Putera Sufri Bolkiah (Brunei).

Sultan Ahmad Shah mengambil ahli jawatan Presiden AFF pada 2011 daripada Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail selepas menang tanpa bertanding.

Dalam ucapan penerimaan jawatan, baginda menyeru semua ahli gabungan AFF untuk terus merapatkan barisan dan meletakkan persaudaraan ASEAN atas segala-galanya.

Sultan Ahmad Shah mengucapkan terima kasih kepada ahli gabungan AFF atas kepercayaan berterusan yang diberikan atas kebolehan baginda sebagai presiden badan bola sepak serantau ini, titahnya seperti dipetik dalam laman web AFF, www.aseanfootball.org.

Baginda turut mengingatkan semua ahli AFF untuk mengetepikan perbezaan masing-masing dan bekerja bersama-sama untuk membangun dan meningkatkan mutu bola sepak ASEAN.