KUALA LUMPUR: Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC menerima padah apabila dikenakan hukuman denda oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas disahkan melakukan beberapa kesalahan semasa saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Baljit Singh Sidhu memaklumkan JDT dikenakan hukuman denda keseluruhan sebanyak RM30,000 akibat daripada kegagalan untuk mematuhi obligasi penganjuran.

Bagi kesalahan pertama, JDT didenda RM15,000 susulan penyokong mereka mengejek dan melakukan provokasi terhadap penyokong pihak lawan semasa perlawanan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) 2023 antara JDT dan Selangor MAC di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, 27 Mei lepas.

JDT turut didenda RM15,000 bagi kesalahan kedua yang membabitkan seorang penyokong pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) dipukul individu tidak dikenali sehingga menyebabkan kecederaan serius semasa final Piala FA 2023 antara JDT dan KL City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 22 Julai.

"Amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan FAM hari ini.

Sementara itu, Selangor FC didenda RM23,000 terhadap tiga pertuduhan yang tidak boleh dirayu berikutan kesalahan dilakukan semasa perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 antara Selangor FC berdepan Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada 24 Sept.

Pertuduhan pertama yang didenda RM10,000 melibatkan cermin belakang kereta pegawai perlawanan pecah kerana dilontar dengan sebiji batu semasa diletakkan di kawasan parkir berhadapan pentas utama stadium manakala pertuduhan kedua membabitkan insiden baling botol air dari kawasan tempat duduk penonton ke arah pegawai pertandingan, dengan denda RM3,000.

Bagi pertuduhan ketiga pula, katanya membabitkan insiden baling botol oleh pegawai Selangor FC ke arah kumpulan pengadil di dalam terowong semasa bergerak ke bilik persalinan dan gagal memastikan keselamatan pengadil selepas perlawanan, dengan denda RM10,000.

Dalam pada itu, seorang pemain dan lima pegawai Selangor FC turut dikenakan hukuman yang melibatkan jumlah keseluruhan denda RM65,000 dan beberapa tindakan dikenakan bergantung kepada kesalahan setiap individu.

Pemain Selangor Yazan Mousa Mahmoud Alarab telah digantung empat perlawanan akibat melakukan perbuatan tidak sopan kepada pengadil pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 ketika Selangor FC menentang Terengganu FC di Stadium MBPJ pada 24 Sept.

Pemain berusia 27 tahun itu turut digantung seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk pentadbiran, pengurusan dan sukan itu di Malaysia kerana dua pertuduhan iaitu menyepak ke bahagian punggung kiri serta meludah ke arah pengadil selepas dilayangkan kad merah pada perlawanan itu.

Pegawai Selangor FC pula, Syafiq Iqmal Fozi dan Mohd Fadhli Mohd Zahari digantung 10 perlawanan dan didenda RM10,000 kerana melakukan provokasi melampau ke atas kumpulan pengadil pada perlawanan sama.

-- BERNAMA