JDT juarai Piala FA, Johor isytihar esok cuti peristiwa

Onn Hafiz berkata pengisytiharan itu dibuat bagi menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, sebagai meraikan kejayaan gemilang pasukan tersebut yang terus mengekalkan dominasi dalam arena bola sepak tanah air. - Gambar Facebook Onn Hafiz Ghazi
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan esok sebagai cuti khas peristiwa bagi seluruh negeri itu sempena kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai Piala FA 2025 dengan menewaskan Sabah FC 5-0 pada perlawanan akhir, malam ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Johor mengisytiharkan esok sebagai cuti khas peristiwa bagi meraikan kejayaan JDT menjuarai Piala FA 2025 dengan menewaskan Sabah FC 5-0.
- Pengisytiharan cuti khas tersebut dikeluarkan untuk menjunjung titah Pemangku Sultan Johor dan memberi penghargaan kepada JDT kerana kecemerlangan dalam arena bola sepak negara.
- Kejayaan JDT membuktikan keunggulan pasukan itu serta komitmen tinggi barisan pemain, pasukan kejurulatihan, dan pengurusan dalam mengekalkan standard kecemerlangan.
"Kejayaan menjuarai Piala FA 2025 sekali lagi membuktikan keunggulan dan konsistensi JDT sebagai kuasa utama bola sepak negara, hasil komitmen tinggi barisan pemain, pasukan kejurulatihan serta pengurusan yang sentiasa beriltizam mengekalkan standard kecemerlangan," katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan kasih kepada Tunku Mahkota Ismail atas kepimpinan, iltizam serta usaha berterusan baginda dalam memartabatkan bola sepak Johor hingga JDT terus melakar kejayaan, termasuk di peringkat antarabangsa.
"Penghargaan ini turut dizahirkan kepada seluruh Bangsa Johor yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada JDT, dengan harapan kejayaan ini menjadi dorongan berterusan untuk pasukan terus mengekalkan prestasi cemerlang serta mengharumkan nama Johor di pentas dunia," katanya.
Terdahulu, dalam aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, JDT menewaskan Sabah FC 5-0, sekali gus menjadi pasukan pertama merangkul trofi Piala FA buat kali keempat berturut-turut.
--BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


