Pasukan bola sepak negeri Johor Darul Ta'zim (JDT) memperkenalkan jersi baharu pasukan mereka bagi kempen Liga Malaysia musim 2017/2018 selepas menjalinkan kerjasama dengan Nike Malaysia.

Kerjasama tiga tahun itu merangkumi empat pasukan di bawah naungan Harimau Selatan iaitu JDT I untuk saingan Liga Super, JDT II (Liga Perdana), JDT III (Piala Presiden) dan JDT IV bagi perlawanan Liga Belia.

Diinpirasikan dengan warna bendera negeri Johor, rekaan jersi kit pada musim ini didatangkan dengan tiga warna iaitu jersi tuan rumah berwarna biru, jersi di gelanggang lawan berwarna merah dan jersi alternatif berwarna hitam.

Turut diperkenalkan, jersi khas bewarna biru gelap berbelang hitam yang direka khas sempena kejayaan pasukan Harimau Selatan menjuarai Liga Super tiga tahun berturut turut.

Majlis pelancaran jersi berkenaan dirasmikan oleh Naib Presiden 1 JDT, Datuk Zulkurnain Kamisan sambil disaksikan oleh ribuan penyokong di Dataran Bandaraya Johor Baharu di sini, malam tadi.
-
Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Datuk Ismail Karim.

Sementara itu, Presiden JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim berkata kerjasama berkenaan mencerminkan bahawa Nike memiliki semangat kesukanan yang sama tinggi seperti pasukan JDT.

"Kita juga mempunyai keyakinan yang tinggi dengan teknologi dan inovasi yang ditawarkan oleh Nike dalam membantu meningkatkan prestasi pemain yang sudah sememangnya berbakat," katanya kenyataan sempena pelancaran jersi itu.

Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Nike Malaysia, Nino Priambodo berkata penajaan ini adalah bukti kesungguhan jenama Nike dalam menyokong atlet tempatan dan semangat kesukanan.

Jersi baharu JDT ini boleh didapati di kedai sukan Al-Ikhsan terpilih bermula Februari depan pada harga RM139.

Ini merupakan kali kedua JDT menjalinkan kerjasama bersama Nike selepas 2015. Sebelum ini, JDT ditaja oleh syarikat barangan sukan dari Jerman, Adidas. -- Bernama