ISKANDAR PUTERI:Kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) kini sah menjadi rakan rasmi pertama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di rantau Asia Tenggara, dalam mengangkat misi kemanusiaan kanak-kanak.

Kerjasama bersejarah itu diumumkan pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada sidang media di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini, yang dilihat sebagai langkah berterusan kelab itu untuk memperkukuh jenamanya di peringkat antarabangsa.

Tunku Mahkota Johor itu turut memaklumkan kerjasama tersebut selari dengan asas pembentukan dan dasar JDT yang selama ini sentiasa terlibat dalam aktiviti kebajikan dan kemanusiaan, dengan tumpuan diberikan kepada generasi muda.

Tunku Ismail berkata bagi terus menjayakan misi tersebut, kelab berkenaan sanggup berbuat apa sahaja untuk membantu golongan kanak-kanak, sama ada menyediakan keperluan pendidikan, kesihatan fizikal dan mental, di samping aspek pemakanan dan keselamatan.

"Usaha ini (kemanusiaan dan kebajikan) memang kami (JDT) sudah lakukan dari dulu, bukan baru-baru ini. Sebab itu, saya kata kerjasama ini amat sesuai dengan matlamat JDT. Melaluinya, seluruh dunia akan mengenali JDT kerana UNICEF mempunyai jaringan di lebih 200 negara.

"Sudah tentu manfaat daripada kerjasama ini nanti, dapat dirasai bukan sahaja di Johor atau Malaysia malah meliputi semua pihak," katanya bahawa pada masa ini, kerjasama itu bagi tempoh setahun, namun tidak menolak kemungkinan memperkembangkannya pada masa hadapan.

Tunku Ismail memberitahu kerjasama itu turut membuktikan bahawa JDT bukan sekadar kelab bola sepak semata-mata, malah lebih daripada itu kerana telah banyak menyumbang semula kepada masyarakat.

Selain itu, pemilik kelab JDT itu menegaskan, JDT adalah sebuah kelab yang mengutamakan nilai komersial dan penjenamaan di peringkat antarabangsa, dan bukan hanya memfokuskan terhadap usaha membeli pemain baharu semata-mata.

"Saya rasa pemain bukanlah projek jangka panjang, kerana akademi dan pembangunan pemain muda adalah lebih utama.

"Jika tiada keuntungan, tiada duit kami pun tidak boleh ada pemain-pemain yang hebat. Jadi lebih baik sediakan payung sebelum hujan, iaitu untuk kelab memiliki aset dan nilai komersial. Itu yang mustahak," katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail turut memberi bayangan logo UNICEF mungkin tertera di bahagian hadapan jersi pasukan berkenaan, bagi saingan musim depan.

Sementara itu, wakil UNICEF di Malaysia Dr Rashid Mustafa berkata kerjasama ini dijangkakan akan membantu meningkatkan kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.

-- BERNAMA