MELAKA: Perlumbaan basikal Jelajah Malaysia 2022 dilihat sebagai persediaan terbaik skuad negara bagi menghadapi Sukan SEA 2023 di Kemboja, pada Mei depan.

Jurulatih skuad berbasikal lebuh raya negara Mohd Yusof Abdul Nasir berkata kejohanan itu juga medan menilai dan memilih pelumba terbaik, untuk mewakili Malaysia ke temasya yang bermula 5 Mei.

"Sebelum ini Jelajah Malaysia telah banyak kali tertunda dan saya baharu saja menerima pengesahan mengenai perlumbaan itu yang akan diadakan 26 Feb hingga 2 Mac.

"Dan ini merupakan hanya kejohanan antarabangsa yang terdapat pada awal tahun sebelum Sukan SEA kerana tiada kejohanan lain selepas ini, kerana Le Tour de Langkawi 2022 berlangsung pada Oktober," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar semasa majlis pelancaran Jelajah Malaysia edisi ke-54 di Kota Laksamana di sini semalam.

Mengulas mengenai pemilihan pelumba, beliau berkata senarai tersebut masih belum diputuskan kerana terdapat beberapa nama tidak dapat disenaraikan, berikutan ada dalam kalangan mereka yang berada dalam pasukan berstatus 'Pro Continental', turut serta dalam perlumbaan Jelajah Malaysia.

Mohd Yusof berkata beberapa pelumba muda dan berpengalaman juga akan digandingkan, termasuk pelumba muda yang menyinar pada Sukan Malaysia (SUKMA) lepas pada Jelajah Malaysia 2022, sebagai resepi memperkukuhkan pasukan negara.

Beliau menjelaskan setakat ini tidak mempunyai masalah mengenai pelumba dalam pasukannya memandangkan Mohd Azwan Zulkifli, Mohamad Izzat Hilmi Abd Halil dan Afiq Huznie Othman, bersedia untuk mewakili Malaysia selain akan digandingkan dengan pelumba yang baharu naik.

"Dalam kejohanan ini juga terdapat pelumba-pelumba berbakat negara seperti Kee Zhe Yie yang berada dalam pasukan pro, akan turut serta.

"Namun untuk mewakili negara pada temasya Sukan SEA nanti, kita akan menyerahkannya kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk membuat keputusan dan menentukan siapa yang layak untuk mewakili Malaysia," katanya.

Dalam pada itu Mohd Yusof berkata Jelajah Malaysia 2022 itu juga, membolehkan beliau dan pasukan basikal negara memantau perkembangan pelumba dari negara serantau seperti Thailand dan Indonesia.

"Seperti kita tahu mereka juga pelumba-pelumba yang akan bersaing dalam Sukan SEA, jadi daripada situ, kita akan dapat menilai tahap dan sejauh mana kemampuan mereka dan kemampuan pelumba negara sendiri untuk Sukan SEA nanti," katanya.

Perlumbaan basikal tertua di Asia, Jelajah Malaysia edisi ke-54 bakal berlangsung selama lima hari bermula 26 Feb hingga 2 Mac yang diadakan kembali selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 2017.

-- BERNAMA