KAMUNTING: Jenazah legenda bola sepak negara, Allahyarham Shaharuddin Abdullah, 75, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kamunting di sini, petang Khamis.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Nurul Hidayah Kampung Bukit Jana, selepas solat Zohor.

Solat jenazah diimamkan sendiri cucu Allahyarham, Azizul Hakim Azizul Aswad, 15, dan disertai kira-kira 200 jemaah.

Selesai solat, jenazah dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira lima kilometer daripada Surau Nurul Hidayah.

Urusan pengkebumian Allahyarham selesai kira-kira jam 3 petang yang turut dihadiri kira-kira 100 orang ahli keluarga, sahabat handai dan para peminat bola sepak tempatan.

Turut membantu kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Penjara Taiping.

 Allahyarham yang diberi gelaran seperti 'The Black Cat' dan 'Sharpshooter' mula bermain untuk pasukan kebangsaan pada 1967 sehingga 1981.

Terdahulu, Allahyarham meninggal dunia, di Hospital Taiping, di sini, akibat penyakit asma awal pagi Khamis.

Anak keduanya Shahrina, 42, berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi anak-anak pada kira-kira pukul 5.07 pagi.

Sementara itu,  Allahyarham Shaharuddin disifatkan sebagai seorang yang tegas dan sangat berdisiplin.

I
a diakui oleh anak keenam Allahyarham, Shafiq Shaharudin, 29, yang turut mengikut jejak ayahnya bermain bola sepak.

Bagaimanapun, kata Shafiq yang bermain dengan KL Rover di Liga M3, ayahnya juga seorang insan yang penuh dengan kasih sayang.

Menurutnya, ayahnya sentiasa tegas dalam setiap keputusan terutamanya ketika menasihati anak-anaknya.

“Ayah sakit sejak dua tahun lalu namun dalam sakit-sakitnya tu dia sangat mengambil berat tentang keluarga dan cucunya malah sejak kebelakangan ini beliau sentiasa mahu bersama anak-anaknya balik.

"Allahyarham juga merupakan 'penasihat' paling utama dalam kerjaya saya sebagai pemain bola sepak, saya akan minta nasihat daripada beliau tentang apa jua, kini semuanya tinggal kenangan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Shafiq walaupun dia sekeluarga berasa amat sedih tetapi menganggap pemergian itu sebagai suratan takdir dan satu ketentuan daripada Allah SWT.

"Cumanya saya sedikit ralat sebab semalam saya dah ada di Taiping namun selepas dimaklumkan ayah akan pulih dalam beberapa hari maka saya ambil keputusan untuk pulang ke Johor.

"Apabila dah sampai di Johor, saya terima panggilan dari kakak menyatakan ayah sudah tenat dan saya tak sempat berada di sisinya pada saat akhir.

“Mungkin ada hikmahnya sebab saya balik (ke Johor) untuk bawa anak isteri ke pengebumian ayah," ujarnya.

Allahyarham merupakan adik kepada seorang lagi legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Namat Abdullah, mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Munich 1972 bersama pasukan Harimau Malaya.

Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak dan dua daripadanya, Shafiq, 29, Shahwan, 28, mengikut jejaknya bermain bola sepak.

Allahyarham yang diberi gelaran seperti 'The Black Cat' dan 'Sharpshooter' mula bermain untuk pasukan kebangsaan pada 1967 sehingga 1981.