Skip to main content

Malaysia

94 PATI pelbagai warganegara dihantar pulang

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah melalui Depot Imigresen Belantik telah melaksanakan Program Penghantaran Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melibatkan seramai 94 orang tahanan warga asing ke negara asal masing-masing hari ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1)._Imigresen Kedah
Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah melalui Depot Imigresen Belantik telah melaksanakan Program Penghantaran Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin melibatkan seramai 94 orang tahanan warga asing ke negara asal masing-masing hari ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Gambar ihsan Imigresen Kedah

SIK: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah melalui Depot Imigresen Belantik telah melaksanakan Program Penghantaran Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) melibatkan seramai 94 orang tahanan warga asing ke negara asal masing-masing hari ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1).

Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, kesemua PATI yang dihantar pulang terdiri daripada 82 lelaki dan 12 wanita yang sebelum ini ditempatkan di Depot Imigresen Belantik, Sik, Kedah. Mereka merupakan warganegara Bangladesh, China, Mesir, Kenya, India, Pakistan dan Myanmar.

“Tahanan yang terlibat telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, termasuk memasuki negara ini tanpa pas atau permit yang sah dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Kesemua mereka telah selesai menjalani hukuman yang diperuntukkan mengikut undang-undang sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing. Sebagai langkah penguatkuasaan berterusan, kesemua PATI yang terlibat turut disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia bagi menghalang kemasukan semula ke negara ini,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Jelas Mohd Ridzzuan, program penghantaran pulang ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan JIM Negeri Kedah dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang Imigresen serta memastikan setiap warga asing yang berada di Malaysia mematuhi peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.

Justeru Jabatan Imigresen Malaysia akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan, pengesanan, penahanan dan penghantaran pulang PATI secara berterusan dan menyeluruh bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang negara, seterusnya memelihara keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan Malaysia.

Must Watch Video

Advertisement