Jepun tetap mara ke pusingan kedua Piala Dunia FIFA Rusia 2018 walaupun tumpas 0-1 kepada Poland.

Peraturan ‘fair-play’ memberi kelebihan kepada Jepun untuk mara selepas mereka berkongsi jumlah mata, gol dan bolos yang sama dengan Senegal dalam kumpulan H.

Namun Jepun mempunyai rekod disiplin yang lebih baik daripada Senegal dengan empat kad kuning berbanding enam yang dikutip Senegal.

Jurulatih Jepun, Akira Nishino turut mengakui anak buahnya tidak mencari kemenangan dalam perlawanan menentang Poland pada Khamis dan bergantung sepenuhnya kepada satu lagi perlawanan kumpulan H antara Senegal dan Colombia.

Nishino turut memberi arahan supaya skuad bimbingannya tidak mengambil risiko dan mengelak daripada menerima sebarang kad daripada pengadil perlawanan.

Poland yang sudahpun tersingkir dari kejohanan mendapat gol kemenangan menerusi volley Jan Bednarek susulan sepakan percuma Rafal Kurzawa.

Jepun mara ke pusingan 16 pasukan terakhir selaku naib juara kumpulan H, di belakang Colombia yang muncul juara selepas menewaskan Senegal 1-0.

Jepun akan bertemu Belgium pada 3 Julai jam 2 pagi.