AL RAYYAN (QATAR): Jordan mengejutkan juara dua kali Korea Selatan 2-0 pada perlawanan separuh akhir untuk memahat sejarah layak julung kali ke pentas final Piala Asia 2023 malam tadi.

Pada pertembungan di Stadium Ahmad bin Ali di sini, dua jaringan Jordan hadir pada separuh masa kedua dengan Yazan Al-Naimat meletakkan pasukan di depan sebelum jaringan Mousa Al-Tamari melengkapkan malam gemilang skuad The Chivalrous bimbingan Hussein Ammouta.

Kedua-dua pasukan menampilkan permainan pantas dan saling berbalas serangan di separuh masa pertama dengan penguasaan bola lebih memihak Korea Selatan, namun Jordan lebih banyak mencipta peluang jaringan dengan empat percubaan tepat, memaksa Jo Hyeon-woo bekerja keras mengawal gawang.

Jordan yang kali pertama beraksi di pentas separuh akhir memberi amaran awal pada minit ke-18 menerusi rembatan Noor Al-Rawabdeh dari luar kotak penalti yang ditepis keluar Hyeon-woo sebelum penjaga gol berusia 32 tahun itu menafikan percubaan Al-Naimat dari jarak dekat pada minit ke-25.

Penjaga gol Ulsan Hyundai itu terus kebal di gawang apabila menafikan peluang keemasan Jordan untuk mendahului perlawanan pada minit ke-42, apabila menyelamatkan rembatan dari jarak dekat Al-Naimat selepas penyerang itu menggelecek tiga pemain pertahanan Korea Selatan.

Al-Rawabdeh kemudian menyambar bola yang diselamatkan itu namun tolakannya terkena kaki Hyeon-woo sekali gus kempunan meletakkan pasukan di depan.

Terdahulu, jaringan pemain bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min dibatalkan pada minit ke-19 kerana ofsaid sebelum tandukan dari jarak dekat Lee Jae-sung yang menyambut hantaran Hwang In-beom dari sebelah kanan, hanya menggegar tiang pada minit ke-32.

Peluang terbaik Taegeuk Warriors untuk mendahului perlawanan hadir pada lewat tambahan masa babak pertama, apabila Hwang yang tidak dikawal dalam kotak penalti gagal menyudahkan hantaran Seol Young-woo dari sebelah kiri, menyaksikan bola melambung tinggi melewati palang Jordan.

Memasuki babak kedua, Korea Selatan terus bergelut dengan asakan bertali arus dilancarkan Jordan sebelum Hyeon-woo akhirnya tertewas selepas Al-Naimat yang menerima lorongan Al-Tamari dengan tenang melepaskan rembatan lambung untuk meletakkan pasukan di depan pada minit ke-53.

Al-Tamari kemudian menyerlahkan kepincangan barisan pertahanan Korea Selatan apabila dengan mudah melepasi kawalan pemain lawan sebelum melepaskan rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti yang menuju ke penjuru kiri bawah gawang untuk meledak gol kedua pasukan pada minit ke-66.

Jaringan Al-Naimat dan Al-Tamari itu merupakan gol ketiga mereka pada kempen kali ini.

Ketinggalan 0-2, Korea Selatan bimbingan Jurgen Klinsmann cuba bangkit, namun gagal menemui penyudah sekali gus terpaksa akur gagal dalam misi menamatkan penantian 64 tahun untuk merangkul gelaran ketiga sejak kali terakhir memenanginya pada 1960.

Menanti Jordan di pentas final Sabtu ini adalah antara juara bertahan Qatar dan juara tiga kali Iran yang akan membuat perhitungan aksi separuh akhir di Stadium Al Thumama di Doha, esok.

-- BERNAMA