KUALA LUMPUR: Pemain tengah Harimau Malaya Paolo Josue berkata beliau tidak gentar untuk berhadapan pasukan Jordan di perlawanan pembukaan Kejohanan Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada 15 Jan ini.

Josue, 34, berkata skuad kebangsaan sudah bersedia untuk memberikan cabaran hebat dengan menggunakan segala maklumat mengenai kelemahan Jordan yang dikumpulkan dan didedahkan oleh Ketua Jurulatih negara Kim Pan Gon.

"Jordan adalah lawan yang kuat tetapi jurulatih sudah memberikan banyak maklumat mengenai Jordan. Ada titik kelemahan yang mungkin kami akan gunakan terhadap mereka.

"Kami berada di sini untuk cuba mengejutkan lawan. Mungkin jika mereka bertemu kami dalam keadaan terlalu yakin, kami boleh mengejutkan mereka. Jadi kami hanya perlu tumpuan dan melaksanakan tugas kami," katanya dalam satu klip audio yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia semalam.

Pemain kelahiran Brazil itu berkata beliau sedia beraksi dalam keseluruhan 90 minit masa permainan jika diberikan peluang oleh Pan Gon untuk mengisi barisan kesebelasan utama perlawanan itu.

"Saya di sini untuk membantu. Saya hanya memberikan apa yang diperlukan jurulatih sama ada ianya 10 minit, 15 minit dan 90 minit, saya akan berikan yang terbaik , saya akan bersedia untuk membantu rakan sepasukan," tambahnya.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Jan, diikuti Bahrain (20 Jan) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Jan ini.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak untuk pusingan 16 pasukan di Doha.

Ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007 tetapi tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam kejohanan ini.

Pasukan bimbingan Pan Gon yang tiba di Doha pada Isnin lepas dijadualkan bertemu Syria dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa hari ini.

-- BERNAMA