TOTTENHAM 1 ARSENAL 1

Harry Kane berasakan Tottenham telah membuktikan semangat juang ketika seri 1-1 dalam aksi derbi London Utara berdepan Arsenal di Wembley.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino hampir tewas buat kali ketiga dalam tempoh lapan hari selepas berdepan Burnley dan Chelsea, sementara Arsenal mendahului permainan menerusi jaringan Aaron Ramsey pada minit ke-16.

Tetapi Kane menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-74 dan ia merupakan permulaan kepada kontroversi dalam perlawanan ini.

Pertahanan Spurs, Davinson Sanchez, melakukan kekasaran dalam kotak penalti ke atas Pierre-Emerick Aubameyang, namun percubaan bekas penyerang Borussia Dortmund itu berjaya ditepis penjaga gol, Hugo Lloris dalam masa kecederaan.

Arsenal terpaksa menamatkan permainan dengan 10 pemain selepas Danny Rose diterjah oleh Lucas Torreira dan Kane memuji semangat juang Spurs mencermin keputusan perlawanan ini.

"Kami bangkit dalam separuh masa kedua dan berhak untuk kembali dalam perlawanan ini," kata Kane.

"Kami memberikan tekanan dan Arsenal gagal mengekang gerakan kami.

"Walaupun mereka menerima sepakan penalti dalam masa kecederaan, Lloris bertindak cemerlang dan memastikan satu mata dikongsi kedua-dua pasukan."

Pengadil perlawanan, Anthony Taylor, memberikan sepakan penalti kepada Arsenal namun ulang tayang menunjukkan kekasaran Sanchez ke atas Aubameyang terlalu ringan, tetapi Lloris lega kerana dia muncul wira Spurs.

"Ia sebahagian daripada permainan ini. Situasi di penghujung permainan agak merumitkan," kata Lloris.

"Keputusan 2-1 boleh menjadi milik mereka atau kami tetapi akhirnya perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1. Ia merupakan satu mata berharga buat kami kerana mengharungi minggu yang sukar.

"Saya tidak tahu [sama ada ia adalah penalti], segalanya berlaku begitu cepat. Saya sentiasa mempertahankan pertahanan saya tetapi perlu menghormati keputusan pengadil. Kami bersyukur kerana Aubameyang gagal menjaringkan gol."