KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan berusaha membantu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyelesaikan masalah kekurangan tempat latihan yang dihadapi pemain kebangsaan ketika ini, di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, di sini.

Menterinya Hannah Yeoh berkata beliau akan mengadakan perbincangan bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi mencari jalan menawarkan infrastruktur yang ada dalam menyediakan tempat latihan mencukupi kepada pemain negara.

"Kekurangan tempat latihan bermaksud, pemain badminton perlu uruskan masa berlatih yang mungkin tidak optimum dan tidak bagus bagi mereka.

"Itu sebab kami akan selesaikan masalah ini secepat mungkin. Itu keutamaan saya berdasarkan lawatan hari ini," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke ABM semalam.

Hannah berkata demikian susulan isu menjadi antara agenda utama dalam mesyuarat bersama BAM pada sesi lawatan tersebut.

Mengenai pertemuannya bersama pemain profesional negara termasuk jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, baru-baru ini, Hannah berkata sesi berkenaan diadakan bagi mendengar segala masalah dihadapi mereka selain menyatakan janji kerajaan membantu pemain yang berpeluang besar beraksi di Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Dalam pada itu, beliau berkata pemain hoki wanita negara Hanis Nadiah Onn boleh membuat rayuan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) mahupun Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selepas digantung dan tidak dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan SEA Kemboja 2023, Mei ini.

Pada Khamis, keputusan penggantungan Hanis dibuat Jawatankuasa Siasatan MSN dan KHM yang bermesyuarat Selasa lepas berhubung isu komen pemain tersebut yang didakwa berbaur perkauman berkaitan konsert penyanyi dan komposer dari India AR Rahman di ibu negara, bulan lepas.

Sementara itu, Hannah memaklumkan KBS akan membuat pengumuman rasmi berhubung senarai atlet terlibat yang akan menyertai program ke Sukan Olimpik 2024 dalam masa terdekat.

Beliau pada masa sama berkata satu model baharu perlu diperkenalkan bagi membantu persatuan sukan kebangsaan selain kalangan atlet serta pemain profesional yang perlu menampung perbelanjaan tinggi untuk menyertai mana-mana kejohanan sukan.

Memandangkan penganjuran mana-mana kejohanan sukan dilihat menelan perbelanjaan yang semakin besar, beliau juga berharap pembentangan Bajet 2023 pada 24 Feb ini mampu memberi sinar harapan kepada persatuan sukan kebangsaan dalam menyelesaikan masalah tersebut.

-- BERNAMA