KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah membawa murid Orang Kurang Upaya (OKU) Muhammad Aqil Naufal Zahiran, bertemu dengan pakar untuk menentukan jenis prostetik yang diperlukan bagi membolehkannya menyertai aktiviti sukan.

Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pihaknya melalui Institut Sukan Negara (ISN), akan menyelia pemasangan prostetik bagi murid berusia 11 tersebut yang memerlukan kaki palsu paras pinggul, pada Jumaat.

Kisah Muhammad Aqil menjadi tular, apabila klip yang memaparkan dia menamatkan perlumbaan 100 meter menggunakan tongkat, dalam satu Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas.

Pelajar sekolah tersebut merupakan murid Program Pendidikan Inklusif Penuh di sebuah sekolah rendah di Pahang itu, kehilangan kaki kirinya akibat jangkitan kuman pada 2015.

"Ia bukan tentang menjadi yang terpantas, tetapi mengenai keinginan dan keazamannya untuk menamatkan perlumbaan yang mengagumkan saya," kata Hannah dalam hantaran itu hari ini.

Sementara itu, Pakar Perubatan Sukan di ISN Dr Ahmad Munawwar Helmi berkata pihaknya akan menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas Muhammad Aqil, bagi memastikan tiada sebarang komplikasi yang berlaku sekiranya beliau memakai kaki palsu berkenaan.

"Kami membuat pemeriksaan susulan untuk memastikan sokongan jangka panjang dan tiada komplikasi," katanya.

Turut hadir pada sesi pertemuan tersebut adalah pihak Persatuan Bola Sepak Orang Kudung Malaysia (MAFA), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengetuai inisiatif Projek Tongkat yang bertujuan menawarkan sokongan, kepada mereka yang diamputasi melalui sukan.

Mereka yang kudung kaki dan ingin bermain bola sepak boleh hubungi 011-36296375 atau e-mel ke [email protected] atau berhubung di media sosial melalui laman Facebook Projek Tongkat dan Instagram projek_tongkat.

-- BERNAMA