KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Esports Integrated (ESI) buat julung kalinya bakal menganjurkan EsportsCon Malaysia 2024, acara untuk meraikan industri e-Sukan Malaysia di ESI Hub - Spacerubix, Puchong pada 6 Jan tahun depan.

ESI menerusi kenyataan memaklumkan konvesyen berkenaan bakal menyediakan platform kepada peminat e-Sukan tanah air untuk berhubung, berinteraksi, menjalin rangkaian dan memahami lebih lanjut mengenai ekosistem sukan berkenaan.

"Kemasukan adalah percuma dan terbuka kepada semua. Cara mudah untuk anda mengunjungi EsportsCon 2024 Spacerubix, lokasi rasmi EsportsCon 2024 ini adalah sebuah hab yang direka dengan seni bina yang unik dan estetik serta lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk komuniti.

"Terdapat pelbagai pengisian menarik menanti, antaranya ekspo permainan dan teknologi, sesi perbincangan bersama pakar industri, pertunjukan perlawanan dan temu mesra bersama Key Opinion Leader (KOL)," menurut kenyataan itu.

ESI memaklumkan konvensyen berkenaan turut menyediakan pameran akademik oleh universiti, pertunjukan cosplay, khidmat kaunseling kerjaya, demonstrasi permainan indie, peraduan mini dan cabutan bertuah.

Menurutnya, pameran permainan, e-Sukan dan animasi turut diadakan selain pengunjung berpeluang untuk menerokai koleksi peranti teknologi permainan seperti sistem konsol dan telefon pintar yang canggih dan terkini di pasaran.

"Bukan itu sahaja, malah pengunjung juga boleh mengikuti siri perbincangan bersama tetamu jemputan yang akan memfokuskan kepada topik-topik berkaitan ekosistem e-Sukan di Malaysia," menurut ESI.

Pengunjung boleh mendapatkan info terkini mengenai EsportsCon 2024 di laman media sosial @esportsintegrated.

-- BERNAMA