KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa "Road To Gold" (RTG) untuk membincangkan segala aspek keperluan dan permintaan atlet yang terlibat dalam program itu pada Isnin ini di Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata perkara ini perlu diteliti sebaik mungkin untuk memastikan atlet yang terlibat dengan program RTG dapat memburu emas pertama negara di Sukan Olimpik.

"Semua permintaan telah dikumpulkan bersama atlet-atlet yang lain termasuk jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan mesyuarat nanti akan mempertimbangkannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara peringkat Negeri Kelantan bagi tahun 2023 di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Sebelum ini, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan segala keperluan atlet program RTG yang telah disampaikan kepadanya akan segera dibawa untuk pertimbangan Menteri Belia dan Sukan.



HANNAH-RTG 2 (AKHIR) KOTA BHARU



Katanya, perkara itu akan terus dibawa untuk perhatian Hannah yang juga merupakan pengerusi bersama Jawatankuasa RTG meskipun ia masih belum sempat dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa program berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Hannah, berkata program Rakan Muda akan dilancarkan pada 24 Jun ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor.

"Program rakan muda adalah satu program yang akan dilakukan secara sistematik dan kita akan umumkan ganjaran untuk ditawarkan kepada orang muda yang mengikuti program rakan muda ini.

"Selain itu, kita juga memperuntukkan sebanyak RM500,000 dana khas kepada negeri Kelantan untuk menganjurkan sebarang aktiviti berkaitan dengan sukan komuniti bagi memastikan anak muda di negeri itu kekal aktif dan sihat," katanya.

-- BERNAMA